Ekonomi China suku ketiga berkembang pantas | DagangNews Skip to main content

Ekonomi China suku ketiga berkembang pantas

 

BEIJING 19 Okt. - Ekonomi China berkembang pantas pada suku ketiga apabila pengguna tidak lagi dibelenggu dengan kebimbangan terhadap virus COVID-19 sekalipun pertumbuhannya dijangka terus berdepan cabaran. 

Data rasmi yang dikeluarkan hari ini menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh 4.9% pada Julai hingga September, lebih rendah berbanding unjuran median 5.2% berdasarkan tinjauan analisis Reuters dan 3.2% pada suku kedua. 

Menurut Reuters, Ketua Makro Strategi Asia di Westpac yang berpangkalan di Singapura, Frances Cheung berkata, pemulihan KDNK suku ketiga itu agak kurang meyakinkan tetapi masih satu perkembangan yang baik dengan 4.9% tahun ke tahun.    

"Berdasarkan data September yang menjangkaui ramalan, ia menunjukkan momentum semakin meningkat untuk suku berikutnya (suku keempat tahun ini)," katanya. 

Biro Statistik Kebangssan (NBS) berkata, negara kedua ekonomi terbesar itu mencatat pertumbuhan ekonomi pada 0.7% bagi tempoh sembilan bulan tahun ini. 

Pemulihan ekonomi China semakin stabil selepas merekodkan pertumbuhan terendah sejak 1992 pada suku pertama tahun ini disebabkan pandemik COVID-19. 

Jelas NBS, bagi suku ke suku, KDNK berkembang 2.7% bagi Julai hingga September berbanding unjuran pertumbuhan 3.2% dan 11.5% pada suku sebelumnya. 

Namun, terdapat beberapa indikator yang menunjukkan penggunaan semakin meningkat pada suku ketiga. 

Jualan runcit berkembang 3.3% pada September berbanding tahun sebelumnya, melonjak lebih tinggi daripada 0.5% pada Ogos dan mencatat pertumbuhan yang baik sejak Disember 2019. 

Pengeluaran perindustrian pula meningkat 6.9% berbanding 5.6% pada Ogos menandakan sektor pemulihan dalam sektor perkilangan. 

Dalam pada itu, pelaburan aset tetap naik 0.8% pada sembilan bulan pertama tahun ini selepas menyusut 0.3% bagi tempoh lapan bulan pertama. 

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini menjangkakan ekonomi China akan berkembang 1.9% tahun ini, satu-satunya negara ekonomi utama yang akan mencatat pertumbuhan pada 2020. - DagangNews.com