Ekonomi Malaysia capai pertumbuhan KDNK 8.9% pada 2QFY22 - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia capai pertumbuhan KDNK 8.9% pada 2QFY22 - Tengku Zafrul

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Ekonomi Malaysia meneruskan momentum pemulihan dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2QFY22 mencapai pertumbuhan 8.9%, berbanding 5.0% yang dicatat pada 1QFY22.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkembangan itu lebih kukuh berbanding prestasi ekonomi beberapa negara maju dan serantau (China: 0.4%, Amerika Syarikat: 1.6%, Kesatuan Eropah: 4.0%, Korea: 2.9%, Singapura: 4.4%, Indonesia: 5.4%, Filipina: 7.4%). 

 

"Kerajaan yakin ekonomi Malaysia mampu mencapai unjuran KDNK rasmi 2022, iaitu di antara 5.3% dan 6.3%.

 

"Perkembangan 2QFY22 yang memberangsangkan ini antara lain adalah hasil daripada dasar fiskal yang mengembang melalui Bajet 2022, limpahan positif dari pakej bantuan dan rangsangan ekonomi dan Bajet 2021 serta dasar monetari yang kekal akomodatif. 

 

"Bersama dengan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya dan sempadan antarabangsa, ianya mendorong pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak 18.3% (berbanding 1QFY22: 5.5%) yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata, sepanjang 2QFY22, KDNK bulanan terus berkembang bagi bulan April (5.6%), Mei (5.0%) dan Jun (16.5%).

 

Beliau berkata, antara indikator ekonomi yang telah menunjukkan trend pertumbuhan adalah penurunan kadar penngangguran kepada 3.8% pada Jun 2022, iaitu paras terendah sejak COVID-19 melanda negara dengan jumlah penganggur seramai 630,000 berbanding tahap tertinggi sekitar 826,000 orang pada Mei 2020.

 

Katanya, permintaan isi rumah dan perniagaan memberangsangkan, dengan jualan perdagangan borong dan runcit yang melonjak sebanyak 44.0% pada Jun 2022  kepada RM132.8 billion.

 

"Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 12.1% pada Jun 2022, di sokong oleh sektor pembuatan, elektrik, dan perlombongan. 

 

"Pada masa yang sama, jualan bagi sektor pembuatan berkembang 23.4% kepada lebih RM153 bilion, dipacu oleh subsektor pembuatan peralatan elektrik dan elektronik," katanya.

 

Tengku Zafrul berkata, perdagangan luar meningkat 43.4% kepada RM270.4 bilion pada bulan Jun, iaitu pertumbuhan dua angka selama 17 bulan berturut-turut sejak Februari 2021 manakala eksport mencatat nilai RM146.2 bilion (+38.8%), iaitu peningkatan selama 22 bulan berturut-turut sejak September 2020. 

 

Katanya, bagi separuh pertama 2022, jumlah perdagangan luar berkembang sebanyak 28.2%, mencatatkan jumlah RM1.36 trilion, ia merupakan nilai separuh tahun tertinggi pernah direkodkan bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan.

 

"Pelaburan langsung asing (FDI) bersih yang terus mencatatkan nilai positif berjumlah RM17.3 bilion dengan sektor pembuatan, aktiviti kewangan dan insurans/takaful serta sektor perdagangan borong dan runcit telah menarik sebahagian besar daripada aliran masuk FDI terutamanya dari Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.

 

"Inflasi kekal stabil pada kadar 2.5% bagi enam bulan pertama tahun ini, dan 3.4% pada bulan Jun 2022. 

 

"Dengan pelaksanaan langkah kawalan harga khususnya melalui pemberian subsidi kepenggunaan yang bakal mencecah RM80 bilion pada tahun ini, kadar inflasi Malaysia terus terkawal dan jauh lebih rendah berbanding Australia dan  Singapura (melebihi 6%), Thailand (melebihi 7%), serta AS dan UK (melebihi 9%)," katanya. - DagangNews.com