Ekonomi Malaysia dijangka hanya 2.6% tahun ini ekoran penurunan eksport - ICAEW | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia dijangka hanya 2.6% tahun ini ekoran penurunan eksport - ICAEW

KUALA LUMPUR 27 Jun - Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) mengunjur ekonomi Malaysia bagi keseluruhan tahun ini berkembang perlahan iaitu hanya 2.6% berikutan pertumbuhan eksport yang semakin menurun.

 

Jangkaan ICAEW bagi keseluruhan tahun ini jauh lebih rendah berbanding unjuran rasmi kerajaan dalam Belanjawan 2023 iaitu pada 4.5% dan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu antara 4% dan 5%.

 

Bagaimanapun, ICAEW menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang kepada 4.5% pada 2024, menandakan kembalinya secara beransur-ansur kepada kadar pertumbuhan purata pra-pandemik kira-kira 5% dalam tempoh lima tahun. 

 

ICAEW berkata, sebelum ini Malaysia menikmati manfaat besar daripada peningkatan permintaan global komoditi dan barangan elektronik pada 2021 serta pada separuh pertama 2022, namun begitu peralihan pasca pandemik dari sudut barangan dan semikonduktor global akan menjejaskan eksport negara.

 

Jelasnya, pada suku pertama 2023, jumlah eksport merosot 8.9% suku ke suku, berikutan penurunan 5.2% pada suku sebelumnya.

 

"Perangkaan perdagangan terkini mencadangkan satu lagi kejatuhan magnitud sedemikian adalah tidak mungkin, dengan nilai eksport susut pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 3.6% pada Mei.

 

"Namun, pembetulan dalam eksport akan mengheret permintaan domestik, mengekang pelaburan perniagaan dan perbelanjaan pengguna memandangkan pekerjaan dan pertumbuhan gaji sederhana," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mengenai inflasi, selepas memasukkan rasionalisasi subsidi bahan api, ia menjangkakan inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia 2.8% pada 2023, lebih rendah berbanding 3.4% tahun sebelumnya dan penurunan seterusnya kepada 1.7% pada 2024.

 

ICAEW berkata, aktiviti pelaburan juga akan terus berdepan tekanan dengan berada sekitar 9% di bawah paras pra-pandemiknya, sebahagiannya disebabkan oleh aliran menurun struktur dalam pelaburan awam.

 

Namun begitu katanya, pelaburan swasta yang masih belum mencapai paras 2019, tiga tahun selepas pandemik melanda, membuka ruang untuk sektor pembinaan pulih. .

 

"Penggunaan swasta di Asia Tenggara secara tidak dijangka menyaksikan trend memuaskan pada awal 2023, kecuali di Singapura dan Vietnam yang momentumnya perlahan.

 

"Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, dengan kadar pertumbuhan 5.6% pada suku pertama 2023, berikutan pertumbuhan kukuh 7.1% pada suku keempat 2022. Penggunaan swasta berkembang pada suku pertama, manakala komponen lain menurun.

 

"Secara keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi kekal kecil sedikit berbanding enam bulan lalu. Menuju ke hadapan, persekitaran luaran akan memainkan peranan penting dalam membentuk trajektori ekonomi Malaysia," katanya. - DagangNews.com