Ekonomi Malaysia diunjur berkembang sebanyak 4% pada 2023 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang sebanyak 4% pada 2023 - Maybank IB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jan - Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada paras 4% pada 2023 berbanding 8% yang dicatatkan pada 2022.

 

Unjuran itu adalah berdasarkan permintaan domestik yang sederhana selain disokong oleh pertumbuhan eksport yang lebih tinggi. 

 

Ketua Ekonomi Maybank IB, Suhaimi Ilias berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bulanan pada 2022 stabil dan Indeks Pengeluaran Perindustrian positif yang menghasilkan kadar pertumbuhan 14.2% untuk 3QFY22.

 

"Inflasi dilihat sebagai penghalang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan akan menjadi punca utama penurunan pertumbuhan ditambah dengan kuasa beli global yang lebih rendah. 

 

"Mengenai inflasi serantau, harga barang yang lebih tinggi dijangka berlarutan sepanjang 2023 seperti di Amerika Syarikat (AS) dengan kadarnya dijangka memuncak antara 5% hingga 5.2% tahun ini," katanya pada sesi penerangan Prospek Ekonomi 2023 secara dalam talian, hari ini.

 

maybank
Suhaimi Ilias

 

Beliau berkata, kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) diunjurkan pada kadar 3% tahun ini dan ia dilihat akan menjejaskan trend untuk mengurangkan inflasi.

 

“Di Malaysia, kuasa beli, terutamanya dari segi pendapatan isi rumah telah berkurangan walaupun kenaikan gaji merentasi banyak sektor dan sebarang kenaikan OPR lebih tinggi daripada jangkaan 3% akan menyebabkan kos sara hidup meningkat. 

 

"Saya pasti bank pusat dan kerajaan menyedari perkara ini dan akan menjalankan usaha positif untuk mengurangkan kesan ini,” katanya.

 

Beliau berkata, pertumbuhan Malaysia kekal positif berikutan perkembangan ekonomi di China yang mencapai 4% mengatasi jangkaan 3.3% pada tahun lalu.

 

Katanya, sektor pelancongan Malaysia dijangka mampu berdepan sebarang cabaran dengan sempadan sudah dibuka dan terdapat peningkatan kehadiran pelancong seiring dengan bilangan perjalanan domestik yang lebih tinggi. - DagangNews.com