LGMS tambah tenaga kerja berikutan permintaan keselamatan siber yang semakin meningkat | DagangNews Skip to main content

LGMS tambah tenaga kerja berikutan permintaan keselamatan siber yang semakin meningkat

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Nov - LGMS Bhd, yang mendapat sokongan daripada permintaan meluas untuk perkhidmatan dan rumusan keselamatan siber, meningkatkan tenaga kerjanya secara signifikan dan merancang untuk menggandakan bilangan profesional berkemahiran menjelang pertengahan 2025.

 

Setakat ini, syarikat keselamatan siber itu telah mengembangkan pasukannya kepada 150 pekerja berbanding 90 pada awal tahun ini.

 

"Landskap keselamatan siber berkembang pesat. 

 

"Pertumbuhan ini juga didorong oleh penggubalan Akta Keselamatan Siber Nasional yang baru-baru ini, yang telah meningkatkan piawaian keselamatan sambil meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan siber di seluruh infrastruktur kritikal negara," kata LGMS dalam satu kenyataan pada Rabu.

 

Akta tersebut menggariskan protokol keselamatan yang ketat untuk 11 sektor yang dikenalpasti sebagai Infrastruktur Maklumat Nasional Kritikal (IMNK), yang memerlukan mereka meningkatkan langkah-langkah keselamatan siber bagi melindungi daripada ancaman yang semakin berkembang.

 

Pengerusi Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook berkata, kakitangannya bekerja tanpa henti dan terlalu sibuk dengan projek-projek, susulan permintaan yang meningkat. 

 

Sementara itu, LGMS melaporkan peningkatan hasil sebanyak RM10.26 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY2024), mencatatkan kenaikan 22.73% berbanding hasil RM8.36 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Kenaikan hasil itu disumbangkan terutamanya oleh segmen pengurusan risiko siber dan pematuhan, yang didorong oleh pangkalan pelanggan yang lebih besar termasuk sektor-sektor seperti institusi kewangan, teknologi dan konglomerat telekomunikasi.

 

Keuntungan sebelum cukai kumpulan sedikit merosot kepada RM2.87 juta bagi suku yang dikaji berbanding RM3.06 juta pada 3QFY2023, disebabkan oleh perbelanjaan berterusan berkaitan dengan pengembangan tenaga kerja, ditambah dengan pelaburan dalam penyelesaian baharu dan peralatan keselamatan siber.

 

"Pelaburan ini menjamin asas kukuh syarikat kami dan melindungi harta intelek LGMS serta kelebihan kompetitif kami," kata Choong Fook.

 

LGMS telah memperkenalkan penyelesaian keselamatan siber StarSentry yang mesra pengguna, yang disasarkan untuk sektor PKS. 

 

Penyelesaian terbabit juga menarik permintaan dan minat daripada perusahaan besar dan badan kerajaan.

 

StarSentry, yang diperkenalkan dan dilancarkan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada Jun lalu, adalah penyelesaian inovatif dalam menyediakan keselamatan siber yang maju dan mudah diakses, membolehkan perniagaan meningkatkan kedudukan keselamatan siber mereka dengan ketara.

 

Selain itu, bagi memperluas jangkauan pasaran, LGMS telah memeterai perjanjian pengedaran dengan VSTECS Bhd, bertujuan untuk meluaskan penggunaan StarSentry kepada komuniti PKS di seluruh Malaysia dan negara jiran.

 

LGMS pada masa sama menyasarkan untuk memperluaskan lagi pasaran antarabangsa, dengan rancangan untuk meneroka pasaran Singapura, Kemboja, Vietnam, New Zealand, Korea Selatan dan Jepun.

 

Kehadiran Mitsui & Co Ltd dari Jepun, yang memegang 25% saham dalam LGMS dan mempunyai kakitangan yang berpusat di ibu pejabat syarikat di Subang Jaya, memperkukuhkan keupayaan pengembangan LGMS. - DagangNews.com