Ekonomi Malaysia Q3 dijangka hilang momentum | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia Q3 dijangka hilang momentum

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Pemulihan ekonomi negara pada suku ketiga ini mungkin hilang momentum apabila indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan jatuh buat kali keempat berturut-turut. 

Pada Oktober, indeks itu susut 48.5 berbanding 49 pada September.

Menurut AmBank Research, keyakinan terhadap sektor pembuatan semakin lemah memandangkan kes COVID-19 semakin meningkat dan beberapa langkah dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak itu. 

"Ini secara tidak langsung menyebabkan tempahan baharu pada Oktober adalah perlahan berbanding bulan sebelumnya," katanya dalam nota kajian. 

Jelas firma penyelidikan itu, permintaan yang tidak menentu juga menyebabkan stok pembelian dan barangan habis pada Oktober. 

"Tambahan pula, pengeluar berdepan dengan penangguhan dalam rantaian bekalan disebabkan langkah sekatan penularan wabak itu yang ketat sama ada di dalam mahupun luar negara. 

"Keadaan ini turut meningkatkan harga input. Dengan kurangnya permintaan, pekerjaan akan terus berada di bawah tekanan," katanya. 

Pada suku kedua, ekonomi Malaysia mengalami penguncupan 17.1% tahun ke tahun tetapi disokong oleh pakej rangsangan berjumlah RM305 bilion.   

Jelas Ambank Research, peningkatan kadar jangkitan COVID-19 dan kebimbangan langkah sekatan pergerakan seterusnya akan terus memberi kesan kepada keyakinan perniagaan. 

"Untuk itu, kami mengunjurkan ekonomi negara tahun ini akan tumbuh pada -3.6 hingga 5.6%," katanya. - DagangNews.com