SHAH ALAM 14 Ogos - Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 17.1% pada suku kedua tahun 2020 (S1 2020: 0.7%). Penurunan ini mencerminkan kesan langkah-langkah pembendungan yang ketat bagi mengawal pandemik COVID-19 pada peringkat global dan dalam negeri yang belum pernah dialami sebelum ini.
Di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk pelbagai langkah yang menyekat aktiviti pengeluaran dan penggunaan. Hal ini mengakibatkan kejutan bekalan dan permintaan yang bukan sahaja berpunca daripada keadaan permintaan luaran yang sangat lemah tetapi juga kekangan pengeluaran dalam banyak sektor ekonomi.
Selain itu, aktiviti pelancongan juga menurun dengan ketara disebabkan oleh penutupan sempadan antarabangsa dan sekatan perjalanan antara negeri.
Dari segi penawaran, kebanyakan sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan negatif, sementara kebanyakan komponen perbelanjaan turut menurun. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi menguncup sebanyak 16.5%.
Pada suku kedua, inflasi keseluruhan adalah pada -2.6%, disebabkan terutamanya oleh harga runcit bahan api yang ketara lebih rendah berbanding dengan tahun sebelumnya serta pelaksanaan rebat tarif penggunaan elektrik secara bertingkat. Inflasi teras menjadi sederhana sedikit kepada 1.2%.
Berikut adalah kenyataan penuh Bank Negara Malaysia :
Perkembangan kadar pertukaran
Pada suku kedua tahun 2020, ringgit menambah nilai sebanyak 0.5% berbanding dengan dolar AS, susulan aliran masuk semula portfolio bukan pemastautin berikutan sentimen dan kesanggupan pelabur mengambil risiko yang bertambah baik.
Hal ini disebabkan oleh pelaksanaan segera suntikan mudah tunai berskala besar dan tindak balas dasar oleh bank-bank pusat dan kerajaan. Selain itu, sentimen pelabur juga disokong oleh pelonggaran sekatan pergerakan secara beransur-ansur di beberapa negara.
Perkembangan ini adalah sejajar dengan mata wang serantau yang turut menambah nilai berbanding dengan dolar AS pada suku itu. Pada tempoh selepas suku kedua baru-baru ini, persekitaran kadar faedah global yang rendah dan sikap optimis terhadap pemulihan pertumbuhan global terus memacu momentum pasaran yang positif dalam rantau ini.
Kesannya, Malaysia terus mengalami aliran masuk portfolio bukan pemastautin dan ringgit menambah nilai sebanyak 2.2% berbanding dengan dolar AS sejak akhir bulan Jun 2020 (setakat 13 Ogos). Walau bagaimanapun, persekitaran global masih sangat tidak menentu dalam tempoh terdekat ini dan hal ini mungkin menyebabkan aliran modal dan kadar pertukaran menjadi tidak menentu pada masa hadapan.
Keadaan pembiayaan
Pada asas tahunan, pembiayaan bersih kepada sektor swasta terus meningkat sebanyak 3.7%. Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat daripada 3.4% in suku pertama tahun 2020 kepada 3.9% pada suku kedua tahun 2020, manakala pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul terus stabil.
Pada asas bulanan, pengeluaran pinjaman perniagaan pulih ke paras yang wajar pada bulan Jun daripada paras yang rendah semasa PKP pada bulan April dan Mei. Hal ini adalah sejajar dengan permintaan untuk pinjaman perniagaan yang bertambah pada suku kedua, terutamanya untuk keperluan modal kerja. Permintaan isi rumah untuk pinjaman pula terus menurun berikutan sentimen yang lebih berhati-hati.
Ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun 2020 berikutan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat dan permintaan luaran yang bertambah baik
Kegiatan ekonomi telah disambung semula sejak ekonomi dibuka kembali pada awal bulan Mei 2020. Kesannya, pertumbuhan dijangka berada pada paras terendah pada suku kedua tahun 2020 dan pulih secara beransur-ansur pada separuh tahun kedua. Prospek ini disokong oleh peningkatan semula penunjuk utama seperti perdagangan borong dan runcit, pengeluaran perindustrian, eksport kasar dan penjanaan elektrik.
Pertumbuhan yang bertambah baik ini juga akan disokong oleh pemulihan dalam pertumbuhan global dan sokongan dasar dalam negeri yang berterusan. Khususnya, aktiviti penggunaan dan pelaburan dijangka mendapat manfaat daripada pelbagai langkah yang terdapat dalam pakej rangsangan fiskal, langkah kewangan yang berterusan dan persekitaran kadar faedah yang rendah.
Dengan penyambungan semula kegiatan ekonomi, keadaan pasaran pekerja juga dijangka bertambah baik. Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang dalam julat antara -3.5% hingga -5.5% pada tahun 2020, sebelum kembali pulih dalam julat pertumbuhan antara 5.5% hingga 8.0% pada tahun 2021.
Purata inflasi keseluruhan pada tahun 2020 dijangka kekal negatif sejajar dengan unjuran sebelum ini iaitu dalam julat antara -1.5% hingga 0.5%. Hal ini mencerminkan terutamanya harga minyak dunia yang ketara lebih rendah. Risiko penurunan harga yang menyeluruh dan berterusan adalah terhad apabila kegiatan ekonomi diteruskan semula secara beransur-ansur dan keadaan permintaan bertambah baik.
Purata inflasi asas diunjurkan mengikut jangkaan bagi keseluruhan tahun ini. Bagi tahun 2021, purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi iaitu antara 1% hingga 3%, sejajar dengan purata jangka lebih panjang yang pernah dicatatkan. Hal ini mencerminkan terutamanya harga minyak dunia yang dijangka pulih dan keadaan permintaan domestik yang bertambah baik.
Walau bagaimanapun, prospek ini akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia yang tidak menentu serta perkembangan COVID-19 yang berubah-ubah. - DagangNews.com