KUALA LUMPUR 8 Feb - Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus memperkasakan persefahaman pertahanan antara kedua negara apabila menjayakan Eksesais Desert Tiger Siri 7/2024.
Eksesais yang berlangsung sehingga 24 Februari ini berkonsepkan latihan silang dan latihan medan di Kem Saih Al-Bana, Ras Al-Khaimah, UAE.
Tentera Darat menghantar Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (12 RAMD Mekanize) melibatkan seramai 16 pegawai dan 114 anggota.
Turut serta ialah wakil-wakil dari Markas Tentera Darat, Markas Pemerintahan Medan Barat dan Pusat Latihan Mekanize.
Eksesais Desert Tiger Siri 7/2024 akan menguji kemahiran warga Tentera Darat dalam operasi mekanize atau melibatkan kenderaan berperisai.
Ini dapat meningkatkan kompetensi trup dan keupayaan anggota dalam aspek operasi mekanize terutamanya di persekitaran padang pasir serta kawasan terbina.
Pembabitan Tentera Darat dalam latihan di luar negara ini penting kerana ia bukan sahaja memberi kemahiran baharu, malah dapat berkongsi kemahiran dengan tentera negara sahabat.
Memandangkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga mempunyai komitmen dalam misi tentera pengaman di Lebanon, maka pendedahan operasi dalam suasana luar dari iklim tropika sangat membantu.
Dengan kemahiran serta pendedahan yang diperoleh, pegawai dan anggota Tentera Darat ini lebih bersedia sekiranya terpilih untuk menyertai misi pengaman nanti.
Pada tahun lalu, Eksesais Desert Tiger membabitkan satu kompeni anggota 9 RAMD (PARA) dan 120 anggota daripada Batalion Ke-61 UAE Land Forces.
Konsep latihan adalah sama tetapi memberi fokus pada kemahiran serangan lintas udara menggunakan helikopter dan operasi pasukan atur gerak cepat.
UAE walaupun sebuah negara bersaiz lebih kecil dari Malaysia, tetapi ia mempunyai angkatan tentera yang moden dan sofistikated.
Jumlah tentera negara itu juga dua kali ganda lebih rendah berbanding dimiliki ATM namun diimbangi dengan teknologi serta sistem persenjataan yang mutakhir.
UAE merupakan negara kelima mempunyai angkatan tentera yang kuat di rantau Arab dan ke-51 dalam kedudukan global.
Negara itu juga membelanjakan kira-kira AS$23 bilion untuk pertahanan setahun dengan 19 peratus diperuntukkan bagi pembelian kelengkapan daripada pembekal luar negara.
Begitu juga industri pertahanan negara itu yang mana UAE menjadi antara pendahulu di rantau Teluk.
Syarikat-syarikat pertahanan UAE sejak enam tahun lalu juga mengintai peluang untuk menawarkan kelengkapan pertahanan kepada ATM seperti raifal, sistem peluru berpandu dan kenderaan perisai.
Firma pertahanan UAE kini menjadi peserta wajib hadir pada pameran pertahanan di Malaysia seperti LIMA dan DSA demi mempamerkan teknologi mereka kepada pelanggan berpotensi di rantau ini. - DagangNews.com