Ekspo maya bantu usahawan PKS | DagangNews Skip to main content

Ekspo maya bantu usahawan PKS

 

 

KUALA LUMPUR, 19 Okt. – Ekspo Penyelesaian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam talian yang bermula hari ini sehingga 23 Oktober ini akan memanfaatkan golongan usahawan PKS yang terjejas teruk akibat impak gelombang ketiga penularan Covid19 di negara ini.

Anjuran Business Media International bersama SAMENTA dan Majalah SME, ekspo ( www.smeexpo.asia ) ini akan memberi peluang kepada pengunjung maya untuk mendapatkan bantuan perniagaan yang diperlukan.

Menurut Penerbit Kumpulan Business Media International, Datuk William Ng, sektor PKS kini berdepan dengan cabaran besar ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya berikutan gelombang ketiga penularan wabak Covid19 di negara ini.

“Pandemik ini ternyata menjejaskan kelangsungan perniagaan ramai usahawan dan anda tidak bersendirian,” kata Ng dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Ekspo Penyelesaian PKS ini akan menampilkan lebih daripada 60 penyedia penyelesaian inovatif dari pelbagai sektor.

“Melalui ekspo maya ini, semua usahawan PKS digalakkan menghubungi pempamer atau agensi kerajaan terlibat menerusi Whatsapp untuk mendapatkan maklum balas segera,” jelasnya.

Tambahnya, antara syarikat yang akan mengambil bahagian dalam ekspo dalam talian ini termasuk Amazon Web Services (AWS), Affinbank, FedEx, MPI Generali dan Xero.

Selain itu, pelbagai bengkel keusahawanan khusus untuk para pengunjung maya dalam Ekspo Penyelesaian PKS kali ini.

Untuk maklumat lanjut atau mendaftarkan diri, sila layari www.smeexpo.asia. – DagangNews.com