Eksport minyak sawit ke India kekal di bawah paras purata 5 tahun | DagangNews Skip to main content

Eksport minyak sawit ke India kekal di bawah paras purata 5 tahun

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Kadar eksport bulanan minyak sawit ke India terus mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu. 

Pada Julai 2020, pemegangan pasaran import minyak sawit India jatuh kepada 54%, berbanding 60% pada tempoh sama tahun lalu. 

Walaupun stok minyak yang boleh dimakan oleh negara itu meningkat sebanyak 42% kepada 1.54 juta tan setakat 1 Ogos 2020, namun kadar itu kekal di bawah purata paras lima tahun iaitu 2.1 juta tan.

CGS-CIMB Research berkata, pengurangan itu sekaligus menarik kadar eksport minyak sawit jatuh 11% pada Ogos berbanding Julai 2020 dan 9% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 1.58 juta tan. 

“Kadar eksport yang lemah (pada perbandingan bulanan) berikutan permintaan yang merudum di negara-negara pengimport utama kecuali China yang meningkat 2%.

“Penyumbang utama kepada penurunan itu adalah India selain Pakistan. 

“Kami menjangkakan tindakan negara-negara berkenaan didorong kebimbangan kadar mampu milik minyak sawit dalam kalangan rakyat mereka setelah harga minyak sawit mentah melonjak beberapa bulan sebelumnya,” jelas analisis CGS-CIMB. 

Baca : India perketatkan semakan import dari Asia, Malaysia dijangka terjejas

India merupakan antara pengimport utama minyak sawit tempatan. 

Sebelum ini, harga minyak sawit mentah (CPO) diunjur cecah paras RM2,400 hingga RM2,800 bagi satu tan pada September 2020.

Hal ini berikutan tempoh pengeluaran tertinggi komoditi itu pada Ogos hingga Disember mungkin tidak mampu mencapai kadar memberangsangkan kerana masalah buruh yang dihadapi di Malaysia dan isu cuaca di Indonesia.

Baca : Harga minyak sawit mentah dijangka turun kepada RM2,400 setiap tan bulan ini

Dalam pada itu, kerajaan juga menghentikan sementara duti eksport sepanjang tahun ini sekali gus meningkatkan kadar eksport minyak sawit pada lapan bulan pertama 2020 kepada 20% daripada 15% pada separuh pertama 2020. 

“Kami menjangkakan stok minyak sawit akan meningkat sebanyak 2% kepada 1.73 juta tan pada penghujung bulan ini memandangkan pengeluaran dan import komoditi itu dapat menangani isu penggunaan dan eksport tempatan.

“Pengeluaran minyak sawit pula diunjur sebanyak 2% pada tempoh sama dan eksport meningkat 1% berbanding bulan lalu. Juruukur kargo ITS menganggarkan eksport minyak sawit Malaysia pada 10 hari pertama September 2020 meningkat 10.3% berbanding 10 hari pertama Ogos 2020,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com