Ekuinas sedia RM850,000 bantu usahawan Bumiputera menerusi ILTIZAM Catalyst | DagangNews Skip to main content

Ekuinas sedia RM850,000 bantu usahawan Bumiputera menerusi ILTIZAM Catalyst

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) meneruskan agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera dengan menyediakan dana sebanyak RM850,000 melalui program 'ILTIZAM Catalyst'.

 

Program itu adalah cabang Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera menangani cabaran asas perniagaan agar dapat berkembang dan berdaya saing dalam pasaran tempatan atau global.

 

Usahawan yang berjaya dipilih akan menerima bantuan teknikal dan bimbingan bernilai sehingga RM25,000 untuk membangunkan kemahiran dan pengetahuan dalam empat teras perniagaan utama iaitu kewangan dan tadbir urus profesional, penjenamaan dan pemasaran digital, penerapan dan penggunaan teknologi serta kepimpinan. 

 

Kecekapan di dalam empat teras itu akan merapatkan jurang-jurang dan mengukuhkan kapasiti perniagaan lantas membantu usahawan mencatatkan perkembangan jangka panjang yang mampan dan meningkatkan daya saing perniagaan mereka.

 

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata,  antara cabaran utama yang dihadapi PKS  termasuk isu kekurangan kemahiran teknikal dan khusus dalam bidang kewangan, tadbir urus, adaptasi digital dan teknologi serta kepimpinan perniagaan termasuk keterbatasan menentukan hala tuju perniagaan menerusi strategi perniagaan yang efektif dan berbentuk jangka panjang.

 

Beliau berkata, menerusi ILTIZAM Catalyst, pihaknya akan mengasah keupayaan dalam bidang-bidang yang kritikal agar para usahawan bukan sahaja cemerlang tetapi berdaya saing, kompetitif dan berdaya tahan untuk berkembang dengan lebih maju dalam situasi ekonomi dunia yang mencabar. 

 

"Dengan kemajuan yang mampan, perusahaan-perusahaan ini akan membuka lebih peluang pekerjaan dan menyumbang secara lebih besar dalam industri dan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sejak 2012, ILTIZAM telah membantu hampir 4,000 orang usahawan dan ILTIZAM Catalyst akan membimbing sehingga 30 PKS untuk tahun ini selama tiga hingga enam bulan untuk meningkatkan keupayaan operasi dan digital untuk melonjakkan pertumbuhan mereka ke fasa yang baharu.

 

PKS yang berminat katanya boleh memohon di catalyst.ekuinas.com.my bermula 5 September sehingga 18 September 2022. - DagangNews.com