KUALA LUMPUR 17 Ogos - EP Manufacturing Berhad mengumumkan bahawa anak syarikatnya, EP 4Wheeler Sdn. Bhd. (EP4W) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cahaya Bumi Sdn. Bhd. (CB) pada 17 Ogos 2022 untuk menerokai perniagaan pengedaran kenderaan import dan terpakai khususnya kenderaan elektrik (EV).
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perjanjian itu membolehkan kedua-dua syarikat mendapatkan ejen pengedaran eksklusif tempatan atau pemegang francais untuk negara dan pemasangan EV daripada pengilang EV terkemuka dalam bentuk CBU dan CKD selain mewujudkan rancangan pengeluaran untuk memasang EV di Malaysia.
Menerusi MoU itu, EP4W bertanggungjawab menyediakan sumber kewangan atau bantuan awal operasi perniagaan.
Cahaya Bumi pula bertanggungjawab untuk mendapatkan sumber terbuka untuk Lesen Import (AP) untuk kederaan import, diberi mandat untuk memulakan, berunding dan melaksanakan pengedaran kenderaan termasuk, kontrak utama dan peluang perniagaan lain selain mendapatkan lesen pembuatan atau lesen lain yang diperlukan untuk EV.
Pada masa sama, Cahaya Bumi juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.
"Perjanjian itu berkuat kuasa selama enam bulan bermula 17 Ogos 2022.
"Kedua-dua syarikat bersetuju untuk memeterai MOU ini untuk menyatakan hasrat mereka dan persefahaman bersama berkaitan dengan projek kerjasama dan pelaksanaan perjanjian yang diperlukan," katanya.
Pelaksanaan MoU itu tidak akan memberi lesan kepada modal saham berbayar dan pegangan saham pemegang saham yang besar dalam syarikat.
"Perjanjian itu juga dijangka tidak memberi sebarang kesan kepada pendapatan dan aset bersih syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022," katanya. - DagangNews.com