`Esok Masih Ada' bagi pengusaha pelancongan Sabah | DagangNews Skip to main content

`Esok Masih Ada' bagi pengusaha pelancongan Sabah

Oleh Dominic G. Joseph
editor@dagangnews.com

 

 

KOTA KINABALU 27 Julai - Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia, pada tahun 2019 sektor pelancongan menyumbang RM86.14 billion kepada ekonomi negara. Pertumbuhan ketibaan pelancong disumbangkan oleh pasaran Asia Selatan (22.2%), Asia Timur (5.9%), Amerika (4.3%) dan Eropah (0.3%).

 

Manakala 10 negara yang mencatatkan bilangan ketibaan pelancong antarabangsa tertinggi ke negara ini pada 2019 iaitu Singapura (10,163,882), Indonesia (3,623,277), China (3,114,257), Thailand (1,884,306), Brunei (1,216,123), India (735,309), Korea Selatan (673,065), Jepun (424,694), Filipina (421,908) dan Vietnam (400,346).

 

Pertumbuhan ketibaan pelancong disumbangkan oleh pasaran Asia Selatan (22.2%), Asia Timur (5.9%), Amerika (4.3%) dan Eropah (0.3%).

 

Agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata dari segi keseluruhan perbelanjaan pelancong, penyumbang terbesar kekal dari pasaran ASEAN dengan jumlah nilai RM43.72 bilion.

 

Industri pelancongan Sabah pada tahun 2018 merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah dengan jumlah sebanyak RM8.342 bilion. Bagi tahun 2020, Kerajaan negeri menyasarkan 4 juta pelancong melawat ke Sabah. 

 

Eko-pelancongan adalah penyumbang utama kepada ekonomi di negeri Sabah. Sama ada pantai berpasir putih, hutan hijau yang subur, hidupan liar yang eksotik, pengembaraan yang menyeronokkan, masakan yang sedap, atau budaya yang kaya, Sabah sentiasa mempunyai sesuatu untuk setiap orang.

 

Sabah juga merupakan tuan rumah kepada salah satu tapak menyelam popular di dunia, iaitu Pulau Sipadan; dan juga Tapak Warisan Dunia iaitu Taman Negara Kinabalu oleh sebab ekosistemnya yang kaya dengan hidupan marin dan habitat hidupan liar.   

 

Tetapi realitinya ialah, sejak penghujung 2019 industri pelancongan di Malaysia menerima tamparan yang hebat susulan impak pandemik COVID-19.  

 

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara lebih 4 juta orang yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sektor pelancongan dan sekitar 640,000 syarikat yang mengusahakan produk serta perkhidmatan pelancongan tidak dapat mengelak impak negatif situasi tersebut. Sabah tidak terkecuali.

 

Seorang pengendali agensi pelancongan, Julais Stephen dari D' Seven Travel & Tours berkata, selepas 17 tahun sebagai pengusaha pelancongan dan dengan kesabaran tinggi, pihaknya dapat mengenal pasti destinasi pelancongan yang utama dan istimewa di negeri Sabah yang kaya dengan sejarahnya.

 

"Salah satu langkah yang kami ambil ialah memberi fokus kepada penyediaan pakej-pakej khas untuk negeri Sabah dan luar negeri," katanya kepada DagangNews.com baru-baru ini.

 

dominic
Julais Stephen (tengah, baju ungu) dari D' Seven Travel & Tours bersama pelancong-pelancong asing.

 

"Di dalam perniagaan pelancongan domestik dan antarabangsa, salah satu faktor yang penting ialah perhubungan rapat dan pentingnya kita dapat berkoordinasi dengan pengendalian darat di seluruh dunia.

 

"Kita juga telah membantu warga tempatan di Vietnam, Indonesia, Korea Selatan dan Thailand untuk menubuhkan syarikat pelancongan mereka masing-masing," ujarnya. 

 

Pada masa yang sama, Lembaga Pelancongan Sabah (STC) dan Tourism Malaysia akan terus merancang pelan promosi strategik untuk pasaran domestik dan antarabangsa walaupun pandemik melanda.

 

Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya berharap aktiviti pelancongan domestik kembali rancak selepas kerajaan mempertimbangankan untuk membenarkan aktiviti pergerakan rentas negeri dalam fasa keempat Pelan Pemulihan Negara di dalam beberapa bulan lagi. - DagangNews.com