Exco Kedah dedah Bandar Raya Getah tiada bekalan elektrik | DagangNews Skip to main content

Exco Kedah dedah Bandar Raya Getah tiada bekalan elektrik

Oleh EMIR MUKMIN
[email protected]

 

ALOR SETAR 16 Nov. - Ketika Bandar Raya Getah Kedah (KRC) di Bukit Ketapang, Padang Terap dicanang sebagai antara projek ikonik yang mampu merancakkan perkembangan ekonomi negeri, Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail hari ini membuat pendedahan mengejutkan mengenai masalah bekalan elektrik ke situ.

 

Menurutnya, sejak kembali memegang portfolio pelaburan berikutan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kedah Mei lalu, beliau telah mengadakan perbincangan bersama semua pemegang taruh projek tersebut terdiri daripada jabatan kerajaan dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). 

 

"Bila kita panggil semua dan tubuhkan jawatankuasa khas untuk melihat sektor utiliti ini, kita dapati rupa-rupanya tiada sebarang langkah dilakukan untuk menentukan KRC mendapat tenaga elektrik mencukupi. 

 

"Bukan kata tak cukup, malah sikit pun tak ada. Kemudian saya tanya kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) berapa lama diperlukan untuk bawa bekalan elektrik ke situ yang mana kita perlukan sebanyak 79 megawatt? Jawapan diberi adalah lima tahun," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Hamzah (Bersatu-Anak Bukit) yang bertanyakan mengenai kemudahan sedia ada yang terdapat di KRC dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

 

aaa
Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail menjawab pertanyaan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kedah di Alor Setar, hari ini.

 

Mengulas lanjut katanya, keadaan itu menimbulkan banyak persoalan terutamanya dengan pelaksanaan kerja-kerja tanah yang telah dilaksanakan. 

 

"Dalam tempoh dua tahun sebelum ini, kita (kerajaan terdahulu) tak buat apa-apakah? Kita buat kerja tanah, buat infrastruktur untuk fasa satu, kemudian kata hendak mulakan dengan 60 ekar... Tetapi tenaga elektrik tak ada," katanya. 

 

Tambahnya, beliau kemudiannya mengambil inisiatif bertemu dengan pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagi membincangkan perkara itu. 

 

"Dalam perbincangan itu yang turut disertai pegawai TNB lain, mereka berjanji untuk membantu mempercepatkan perkara ini. Itu pun bergantung kepada banyak faktor seperti tanah dan sebagainya. 

 

"Di pihak kerajaan negeri, kita akan percepatkan urusan ini dan Insya-Allah kita lakukan sebaikya," katanya. 

 

aaa
Gambar Februari 2020 menunjukkan kerja-kerja pembukaan tanah bagi tapak projek Bandar Raya Getah di Padang Terap, Kedah.

 

Sementara itu Ku Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri kini berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan peruntukan berjumlah RM324 juta dari kerajaan persekutan bagi pengambilan tanah seluas kira-kira 185 hektar selain pembinaan infra untuk membuka fasa lima di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

 

"Saki-baki tanah dalam fasa-fasa sedia ada di KHTP kini dijangka habis digunakan dalam lima tahun akan datang. Maka usaha mendapatkan peruntukan itu dijalankan bersungguh-sungguh malah telah diminta untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

 

"Di KHTP ini, aktivitinya memang sangat rancak. Malah tempahan untuk fasa lima di situ telah melebihi 50 peratus untuk mereka laksanakan pelaburan," katanya. 

 

Menjawab soalan Datuk Norsabrina Mohd. Noor (BN-Bandar Baharu) mengenai peratusan capaian dan kerugian semasa pandemik Covid-19, Ku Abd. Rahman berkata, maklumat diterimanya menyatakan kebanyakan syarikat tidak mengalami kerugian sebaliknya hanya kekurangan keuntungan. 

 

"Saya sempat bertanya kepada beberapa syarikat dengan kebanyakannya menyatakan tak terjejas dari keseluruhan pengeluaran. Antara faktor yang membantu adalah perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China di mana terdapat penyokong Amerika syarikat yang memerlukan produk dari Malaysia terutamanya di KHTP.

 

"Kalau tanya soal kerugian, saya dapat maklumat 99% tak rugi. Cumanya keuntungan mereka mungkin berkurangan sedikit sebab kita tengok Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) pun menguncup," katanya. - DagangNews.com