Exocet, peluru berpandu TLDM berusia 27 tahun diuji dalam Eksesais Taming Sari | DagangNews Skip to main content

Exocet, peluru berpandu TLDM berusia 27 tahun diuji dalam Eksesais Taming Sari

Kapal KD Lekir melancarkan tembakan Exocet semasa Eksesais Taming Sari 2021.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 5 Dis - Keupayaan aset-aset peluru berpandu antipermukaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diuji menerusi latihan Eksesais Taming Sari Siri 22 Tahun 2023 di sekitar utara perairan Selat Melaka. 

 

Eksesais Taming Sari merupakan latihan penembakan misil oleh aset kombatan TLDM bagi menguji keupayaan dan kesiapsiagaan sistem persenjataan tersebut.

 

Ini juga untuk menilai serta memastikan persediaan kapal dan tahap kompetensi kru.

 

Latihan peperangan maritim ini menguji aspek perancangan dan pelaksanaan TLDM selain membuktikan kesiapsiagaan dalam mempertahankan negara daripada sebarang ancaman musuh.

 

Kapal
Frigat KD Lekiu.

 

Kapal
Korvet KD Lekir.

 

Objektifnya adalah untuk mewujudkan suasana peperangan maritim yang sebenar.

 

Pada eksesais kali ini, dua buah kapal penembak iaitu KD Lekiu dan KD Lekir akan melancarkan tembakan misil Exocet MM40 Block II.

 

Selain penembakan misil, Eksesais Taming Sari 22/23 turut menguji keupayaan aset-aset lain yang terlibat. 

 

Sebanyak 14 buah kapal, 8 bot dan 12 pesawat dari TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terlibat untuk menjayakan eksesais ini. 

 

Kapal
Peluru berpandu Exocet MM40 Block II antara persenjataan maritim yang terbaik.

 

Dengan lanskap geo-strategik yang semakin mencabar ketika ini, amat penting untuk armada TLDM kekal relevan dalam konteks pertahanan maritim. 

 

Eksesais ini dapat mempamerkan keupayaan kuasa tempur TLDM, sekali gus membuktikan bahawa ia masih lagi bertaring untuk mempertahankan kedaulatan perairan negara.

 

Exocet MM40 Block II buatan Perancis berada dalam inventori TLDM sejak 1996 merupakan sistem peluru berpandu antipermukaan yang telah teruji dalam banyak siri latihan sebelum ini.

 

Ia mampu menujah ke sasaran sehingga sejauh 160km pada kelajuan kira-kira 1,100km sejam.

 

Kapal
KD Lekiu melepaskan tembakan Exocet semasa Eksesais Taming Sari 2022.

 

Peluru berpandu Exocet mempunyai reputasi tinggi selepas mempamerkan keberkesanan semasa Perang Falklands pada 1982 apabila berjaya menenggelamkan kapal-kapal tentera laut British.

 

TLDM antara pengguna terbesar peluru berpandu Exocet bermula dengan versi MM38 sebelum digantikan dengan MM40 Block II.

 

Walaupun peluru berpandu ini lama dalam inventori TLDM, namun tahap penyelenggaraan terbaik yang dilakukan memastikan ia berfungsi dengan baik dan siaga menghadapi sebarang ancaman.

 

Cuma sedikit ralat ialah sekiranya tidak berlaku kelewatan, sudah pasti Eksesais Taming Sari ini melibatkan kapal tempur pesisir (LCS) yang diterima TLDM pada tahun 2019 dan berikutnya.

 

LCS yang dipadankan dengan sistem peluru berpandu antipermukaan NSM Kongsberg mempunyai kemampuan yang berganda berbanding Exocet sedia ada.

 

Dengan jarak sasaran sehingga 185km, memang pun LCS wajar digeruni namun, kita terpaksa menunggu lama untuk menyaksikan LCS beraksi.- DagangNews.com