KUALA LUMPUR 9 Jan - EY menjangkakan keadaan yang semakin bertambah baik akan meningkatkan lagi aktiviti tawaran awam permulaan (IPO) global pada 2HFY23 ini meskipun prestasi suram dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga 1QFY23.
Memetik laporan EY Global IPO Trends 2022, firma perundingan perniagaan antarabangsa itu berkata banyak syarikat IPO dijangka "mengambil pendekatan tunggu dan lihat, menunggu peluang yang sesuai".
“Buat masa ini, para pelabur akan lebih menumpukan kepada asas syarikat seperti pertumbuhan hasil, keuntungan dan aliran tunai, dan bukan hanya semata-mata kepada unjuran pertumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
EY berkata, aktiviti IPO global pada 2022 merosot 45% tahun dengan hanya 1,333 IPO dilaksanakan yang mengumpulkan AS$179.5 bilion (RM785.40 bilion) manakala jumlah janji niaga dan hasil susut sebanyak 61%.
Sepanjang 2022, aktiviti IPO global terjejas akibat daripada peningkatan ketidaktentuan pasaran selain prestasi kurang memberangsangkan kebanyakan IPO yang disenaraikan sejak 2021.
“Di tengah-tengah persekitaran yang dipengaruhi oleh peningkatan inflasi dan kenaikan kadar faedah, para pelabur kurang berminat dengan syarikat senaraian awam baharu dan lebih menumpukan kepada kelas aset kurang risiko,” katanya, lapor Bernama.
EY berkata, aktiviti IPO tajaan kewangan turut terkesan apabila bilangan dan hasil jatuh merudum masing-masing sebanyak 77% dan 93%.
Katanya, Asia Tenggara mencatatkan aktiviti IPO sebanyak 137 yang mengumpulkan AS$6.5 bllion (RM28.44 bilion) tahun lepas berbanding 134 IPO yang mengumpulkan AS$13.2 bilion (RM57.76 bilion) pada 2021.
Indonesia menerajui aktiviti dengan sebanyak 60 IPO yang mengumpulkan AS$2.2 bilion (RM9.63 bilion), Thailand (32 IPO mengumpulkan AS$3.1 bilion (RM13.56 bilion)), Malaysia (29 IPO mengumpulkan AS$700 juta (RM3.06 bilion)), diikuti Filipina (lapan IPO mengumpulkan AS$500 juta (RM2.2 bilion)) dan Singapura (lapan IPO mengumpulkan AS$40 juta (RM175 juta)).
Bilangan penyenaraian lebih besar di bursa Asia Tenggara terhad pada 2022 tetapi dengan sekatan COVID-19 yang semakin longgar, IPO yang lebih besar dijangka kembali semula pada 2023.
EY berkata untuk menjadi lebih aktif semula, pasaran IPO memerlukan beberapa keadaan seperti sentimen positif, prestasi pasaran saham yang lebih mantap, inflasi rendah, berakhirnya kitaran kenaikan kadar faedah, pengenduran ketegangan geopolitik dan kesan pandemik yang semakin berkurangan ke atas ekonomi global. - DagangNews.com