Fasa pertama KAIA Heights dijangka siap suku pertama 2025 | DagangNews Skip to main content

Fasa pertama KAIA Heights dijangka siap suku pertama 2025

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) melancarkan pembukaan galeri pameran KAIA Heights yang menampilkan kediaman bertingkat atas bukit eksklusif, dengan fasa pertama dijangka siap pada suku pertama 2025.

 

Dikelilingi kehijauan semula jadi, setiap unit dalam pembangunan 19.24 ekar ini mempunyai pemandangan tanpa halangan menghadap sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur, Bukit Jalil atau Hutan Simpan Ayer Hitam yang mengagumkan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, KAIA Heights direka bagi menginspirasikan pengalaman hidup ceria dengan keinginan menyediakan ruang tempat kepada penduduk untuk mencari kualiti hidup lebih baik bagi diri dan ahli keluarga.

 

Jelasnya, pembangunan berkonsep kekeluargaan ini dibina dengan pelbagai ruangan serba hijau dan kemudahan rekreasi berintegrasi yang menyediakan landasan untuk gaya hidup aktif, di samping menawarkan akses mudah ke pelbagai kemudahan kesihatan, pusat pendidikan dan ruang runcit. 

 

"Persekitaran berketumpatan rendah ini meningkatkan nilai, kebolehdiaman dan daya tarikan KAIA Heights, justeru menjadikan kediaman ini sesuai untuk para pembeli rumah kali pertama, pembeli yang ingin menaik taraf, serta pasangan muda berkeluarga.

 

 

uem

 

 

“UEM Sunrise memahami keperluan sebuah masyarakat yang terangkum, oleh kerana itu kemudahan rekreasi tersebut bersifat berbilang generasi untuk membuatkan ia lebih menarik bagi warga emas dan turut memperluaskan keupayaan untuk menjana ruang selamat dan selesa buat generasi keluarga akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pembina-pembina KAIA Heights merangkumi portfolio terdiri daripada barisan arkitek, pereka dalaman dan landskap terkemuka, yang memberi perhatian konsep kediaman tiga-generasi, di mana para penduduk boleh menangkap semula (recapture) kemeriahan pengembaraan luar, mengecas semula tenaga (replenish) selepas seharian bekerja dan merehatkan (restore) badan, minda dan jiwa dengan udara segar dan suasana landskap serba hijau, terutamanya untuk warga emas.

 

Para penduduk boleh membeli-belah di AEON Mall Taman Equine atau Giant Seri Kembangan, selain sekolah antarabangsa seperti Alice Smith dan Rafflesia International School berada di kawasan berdekatan. 

 

KAIA Heights berdekatan dengan lebuh raya utama termasuk, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhrya Bukit Jalil, serta jarak hanya 1.6 kilometer dengan kereta ke stesen MRT Taman Equine yang bakal dibangunkan.

 

 

uem

 

 

Terhad kepada 10 unit setiap tingkat, KAIA Heights yang berketumpatan rendah dibina dalam dua fasa pembangunan di mana setiap fasa terdiri daripada dua menara menempatkan lebih kurang 30 tingkat bagi setiap unit. 

 

Dengan harga permulaan RM567,800, purata keluasan untuk setiap unit adalah antara 972 hingga 1,437 kaki persegi bagi fasa pertama dengan beberapa unit dilengkapi ruang tambahan yang boleh diubahsuai kepada pejabat rumah, gimnasium mini atau kawasan permainan kanak-kanak.

 

KAIA Heights turut dilengkapi dengan kemudahan seperti gelanggang futsal, gelanggang bola keranjang, laluan joging sepanjang 1.2 kilometer, dewan serbaguna, gelanggang badminton, gimnasium, tiga jenis kolam renang, tapak BBQ, dan kawasan permainan dalam lingkungan seluas lapan ekar. 

 

KAIA Heights kini mendapat pensijilan perak 'Green-RE' yang menggunakan bahan tidak toksik, beretika dan mampan serta menggunakan air hujan untuk pengairan. 

 

Pembangunan tersebut memulihara hampir 40% daripada perhutanan di sekitar kawasan, menggunakan kompos yang dikitar semula daripada sisa hortikultur, dan direka bentuk tanpa telaga udara untuk pengudaraan yang lebih baik. 

 

 

uem

 

 

UEM Sunrise turut bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia untuk menanam pelbagai spesies pokok yang merupakan tumbuhan asli di persekitaran Hutan Simpan Ayer Hitam. 

 

Pembangunan secara keseluruhannya akan menempatkan sekitar 924 unit dengan purata 48 unit setiap ekar. 

 

Walaupun pembangunan terletak di atas puncak bukit eksklusif, pembinaan akan dilaksanakan dengan mematuhi piawaian keselamatan yang paling ketat, mengekalkan paras tanah tinggi dan pelepasan sekurang-kurangnya 14 meter dalam garisan anjakan bangunan.

 

KAIA Heights turut mengadakan kempen tahun baharu cina minggu lepas dan para pembeli rumah yang menandatangani Perjanjian Jual dan beli (SPA) mereka dengan pembangunan tertentu, berpeluang memenangi cabutan hadiah serta diskaun istimewa. 

 

Orang ramai boleh menghubungi talian 1800-88-8008 untuk menempah slot temujanji untuk melihat unit pameran di KAIA Heights di Equine Park, Seri Kembangan. 

 

Mereka boleh mengunjungi galeri jualan melalui aplikasi Waze atau Google dengan menaip 'KAIA Heights’ atau layari uemsunrise.com untuk maklumat lanjut tentang pembangunan-pembangunan menarik. - DagangNews.com