Felcra agih keuntungan RM28 juta kepada 57,886 peserta projek P&P mulai 18 Ogos 2020 | DagangNews Skip to main content

Felcra agih keuntungan RM28 juta kepada 57,886 peserta projek P&P mulai 18 Ogos 2020

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Felcra Berhad akan mengagihkan keuntungan berjumlah RM28,073,612 akan dibayar kepada 57,886 peserta projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) Felcra daripada 520 projek yang mencatatkan keuntungan bagi tempoh interim 1/2020 (sehingga April 2020).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata, agihan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula esok, 18 Ogos.
 

aaa
                     Dr. Abd Latiff Ahmad


Beliau berkata, agihan interim 1/2020 ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM5.6 juta, iaitu 25% lebih tinggi berbanding agihan interim 1/2019.  

Menurutnya, walaupun negara dilanda pandemik COVID-19 ketika penghujung tempoh interim (Januari hingga April 2020), beliau gembira dengan komitmen pihak pengurusan Felcra yang melaksanakan proses transformasi secara proaktif dan menyeluruh.

``Langkah itu adalah demi memastikan purata produktiviti ladang sentiasa pada tahap optimum dan usaha operasi harian ke arah pembaikan, pembetulan dan penjimatan bertambah efisien dan efektif untuk manfaat warga peserta Felcra keseluruhannya.

"Hasilnya, Felcra Bhd dapat mengagihkan bayaran keuntungan sejumlah RM28 juta kepada para peserta yang layak menerima berdasarkan prestasi projek-projek berhasil yang sangat memberangsangkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr. Abd. Latif berkata, usaha tersebut dapat menambah baik pendapatan syarikat walaupun sedikit terjejas akibat harga komoditi di pasaran dunia yang kurang stabil ketika itu serta kesan COVID-19.

``Justeru, ia juga dapat meringankan cabaran ekonomi yang dihadapi peserta Felcra," kata beliau. - DagangNews.com