Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - FGV Holdings Bhd. menganggarkan Felda perlu melunaskan bayaran pampasan penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA) kira-kira RM3.5 hingga RM4.3 bilion.
LLA tersebut melibatkan ladang-ladang milik Felda seluas 350,733 hektar yang dipajakkan kepada FGV selama 99 tahun bermula dari 1 November 2011.
Menurut syarikat perladangan itu, ia adalah berdasarkan penilaian dalaman yang akan berbeza bergantung kepada prestasi kewangan FGV bagi 2020 dan 2021 serta pelbagai faktor lain.
Namun, katanya, sehingga semalam FGV masih belum menerima notis bertulis daripada Felda mengenai penamatan LLA tersebut.
"Setelah kami menerima notis rasmi daripada Felda seperti yang disyaratkan di bawah LLA, FGV akan mengikuti prosedur yang telah digariskan dalam LLA untuk memulakan proses penamatan.
"Malah, ia juga dapat menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada FGV yang akan mengambil masa selama 18 bulan untuk diselesaikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Jemaah Menteri bersetuju menamatkan LLA antara Felda dan FGV serta meluluskan cadangan penerbitan sukuk oleh Felda bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan Felda yang dikemukakan.
Antara cadangan lain yang turut diterima termasuklah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan dan meningkatkan daya berdikari peneroka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan kewangan Felda dijangka mencatatkan aliran positif bermula 2023 dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut dan akan kembali ke landasannya sebagai sebuah badan yang berdaya maju.
FGV berkata, dengan penamatan LLA tersebut, pihaknya yakin rantaian bekalan ladang tetap utuh kerana ladang-ladang LLA hanya mewakili 30% tandan buah segar (TBS) yang diproses di 68 kilang kelapa sawit miliknya.
"Oleh kerana lokasi kilang kelapa sawit yang berdekatan dengan ladang–ladang LLA, kami tidak menjangkakan sebarang perubahan kepada susunan bekalan TBS sekarang.
"Rangkaian nilai bersepadu FGV yang selebihnya di perniagaan pertengahan dan hiliran akan kekal tidak terganggu dengan penamatan LLA," katanya.
Malah, FGV menegaskan, syarikat telah bersedia menghadapi kemungkinan tersebut memandangkan penamatan LLA sering dibangkitkan dari semasa ke semasa.
FGV kini mahu memberi fokus kepada strategi jangka panjang keseluruhan untuk terus berkembang dan mengukuhkan aktiviti perniagaan bernilai tinggi.
Selain itu, katanya FGV akan sentiasa melindungi kepentingan para pemegang sahamnya.
"Kami mahu memberi tumpuan kepada makanan dan produk pengguna berjenama tetap utuh dan berpotensi dengan cepat untuk memberi jangkaan pulangan yang lebih tinggi kepada para pemegang saham hasil daripada penamatan LLA," jelasnya. - DagangNews.com