Felda yakin jadikan FGV syarikat persendirian akhir tahun ini | DagangNews Skip to main content

Felda yakin jadikan FGV syarikat persendirian akhir tahun ini

KUALA LUMPUR 8 Julai - FELDA yakin dapat menjadikan FGV Holdings Bhd syarikat persendirian menjelang akhir tahun ini, selepas gagal dalam tawaran terdahulu kira-kira empat bulan lalu.

 

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya sedang berunding dengan kerajaan negeri tertentu, yang menguasai 9% kepentingan dalam FGV, berhubung cubaan baharu menjadikannya syarikat persendirian.

 

FELDA gagal dalam bidaan mengambil alih FGV pada RM1.30 sesaham pada Mac, apabila tidak dapat mengumpul minimum 90% kepentingan yang diperlukan.

 

Pada penutup tawaran 15 Mac lalu, FELDA hanya memiliki hampir 81% saham FGV.

 

Di bawah peraturan penyenaraian Bursa Malaysia, FELDA memerlukan penerimaan daripada pemegang saham yang secara terkumpul memegang baki 1.63 bilion saham FGV bagi meneruskan pengambilalihan itu.

 

Ini akan diterjemahkan kepada 95% kepentingan atau kira-kira 3.46 bilion saham dalam syarikat gergasi perladangan itu.


Kerajaan Pahang dan kerajaan Sabah, menerusi Sawit Kinabalu Sdn Bhd, dilaporkan kekal sebagai pemegang saham utama FGV dengan masing-masing, 5% dan 4% kepentingan.

 

Pada RM1.30 sesaham, tawaran pengambilalihan itu menilai FGV pada RM4.74 bilion, diskaun 71.4 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM4.55 sesaham pada 2012.

 

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh 
Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh 

 

"Kejayaan pengambilalihan akan membolehkan FELDA tidak perlu menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA) bersama FGV," kata Idris dalam satu taklimat media pada Selasa, sebelum pelancaran sambutan Hari Peneroka FELDA.

 

"Menjadikan FGV syarikat persendirian akan menyediakan aliran pendapatan mampan kepada FELDA," tambahnya, menurut Berita Harian.

 

FELDA sebelum ini berkata, adalah sesuatu yang tidak berhemat untuk memberikan pampasan kepada FGV bagi mengambil alih 351,000 hektar dan kilang sawit di bawah LLA memandangkan ia sudah pun memiliki kawalan majoriti dalam syarikat itu.

 

Idris berkata, ia akan menggunakan hasil dijana daripada terbitan bon bernilai berbilion-bilion ringgit oleh FELDA untuk membiayai sebahagian daripada tawaran baharu itu.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika melancarkan Hari Peneroka FELDA semalam, mengumumkan kerajaan meluluskan RM9.9 bilion terbitan bon oleh FELDA.

 

Bon itu dijamin oleh kerajaan, tambahnya. Bon RM9.9 bilion itu mula dicadang dan dibentangkan oleh pasukan petugas khas dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar pada mesyuarat Kabinet 14 Oktober tahun lalu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, akhir tahun lalu.

 

FELDA juga akan menstruktur semula hutangnya kepada institusi kewangan, kata Mustapa dalam satu taklimat FELDA pada Oktober lalu.

 

Hutang FELDA mencecah RM10.6 bilion.

 

Cadangan menjadikan FGV syarikat persendirian akan membolehkan FELDA menguasai kepentingan kawalan langsung dalam MSM Malaysia Holdings Bhd, penapis gula terbesar di negara ini. - DagangNews.com