Fiskal kerajaan tidak terbeban dengan Pemerkasa | DagangNews Skip to main content

Fiskal kerajaan tidak terbeban dengan Pemerkasa

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mac - Pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion pada petang semalam tidak mendatangkan impak signifikan ke atas nisbah defisit fiskal kerajaan kepada ekonomi. 

 

MIDF Research menjangkakan Pemerkasa akan dijana menerusi dana sedia ada, terutamanya daripada Dana COVID-19 yang telah diluluskan perbelanjaannya bagi tahun 2021. 

 

“Dalam pada itu, harga minyak mentah yang lebih tinggi akan menjadi positif buat hasil fiskal. 

 

“Kami kini menjangkakan harga minyak mentah akan berada pada paras purata AS$58 setong berbanding AS$43.29 setong pada tahun lalu, di mana lebih tinggi daripada pengiraan AS$42 setong bagi Belanjawan 2021,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Lewat petang semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pemerkasa yang merangkumi 20 inisiatif untuk meneruskan pemulihan ekonomi, hanya dalam tempoh tiga bulan setelah Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dilancarkan. 

 

Setelah mengambil kira nilai pakej bantuan itu, MIDF mengunjurkan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) pada kadar 5.7% bagi tahun ini berbanding 6.2% pada tahun 2020. 

 

Unjuran itu dibuat setelah mengambil kira ramalan ekonomi yang akan berkembang 5.4%, lebih rendah daripada jangkaan julat pertumbuhan kerajaan iaitu antara 6.5% hingga 7.5%, kata MIDF.

 

“Secara keseluruhannya, MIDF melihat Pemerkasa sebagai pemacu sentimen bagi prestasi ekonomi negara pada tahun ini. 

 

“Komitmen kerajaan untuk meningkatkan peruntukan bagi program imunisasi kebangsaan, sebagai usaha untuk mempercepat sasaran imuniti kelompok menjelang Disember 2021 daripada sasaran awal iaitu suku pertama 2022 (1Q22) akan melonjakkan kedua-dua sentimen pengguna dan perniagaan.

 

“Walaupun kami melihat sokongan berterusan oleh kerajaan untuk merancakkan ekonomi dan menambah baik keyakinan sebagai lonjakan kepada jangkaan pertumbuhan ekonomi tahun ini, namun kami mengekalkan unjuran KDNK sebanyak 5.4% tahun ke tahun (y-o-y) ketika ini,” ujar MIDF lanjut.

 

Untuk rekod, kerajaan telah melancarkan kira-kira enam pakej rangsangan bermula tahun lalu sehingga awal tahun 2021, terdiri daripada Prihatin (RM250 bilion), Prihatin PKS+ (RM10 bilion), Penjana (RM35 bilion), Kita Prihatin (RM10 bilion), Permai (RM15 bilion) dan Pemerkasa (RM20 bilion).

 

Pakej Rangsangan
Sumber : CSG-CIMB Research

 

Kesemua pakej-pakej rangsangan itu mencatatkan nilai kumulatif sehingga RM340 bilion.

 

Senada MIDF, CGS-CIMB Research juga percaya kerajaan boleh ‘mengutip’ hasil minyak tambahan antara RM5 bilion hingga RM8 bilion daripada harga komoditi itu yang lebih tinggi. 

 

Katanya, harga minyak mentah yang kini berlegar antara AS$60 hingga AS$70 setong akan memberi sokongan penimbal separa - tetapi tidak mencukupi, terhadap penurunan sasaran defisit Belanjawan 2021. 

 

Baca : Impak Pemerkasa ke atas 7 sektor

 

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengunjurkan defisit akan berkembang kepada 6.1% daripada KDNK (berbanding sasaran Belanjawan 2021: 5.4% daripada KDNK), berikutan perbelanjaan rangsangan dan prospek pertumbuhan KDNK yang lebih rendah daripada yang diunjurkan.

 

Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion

 

“Kerajaan berhasrat untuk menerbitkan Sukuk Lestari tidak kurang daripada AS$1 bilion (RM4 bilion), dengan penggunaan hasil yang secara luas dibayangkan sebagai 'projek dengan elemen kelestarian dan menangani kesan sosio-ekonomi COVID-19'.

 

“Kami percaya terbitan hutang itu sebahagiannya untuk membiayai perbelanjaan tambahan di bawah Pemerkasa,” ramal CGS-CIMB. - DagangNews.com