Fitch Solution semak turun unjuran defisit Belanjawan 2023 kepada 4.9% | DagangNews Skip to main content

Fitch Solution semak turun unjuran defisit Belanjawan 2023 kepada 4.9%

KUALA LUMPUR 6 Mac - Penyatuan fiskal akan berlaku di Malaysia lebih pantas pada era pasca pandemik, ia diunjurkan berkurangan pada 2023 kepada 4.9% daripada 5.3% sebelumnya, kata Fitch Solutions Country Risk and Industry Research (Fitch Solutions).

 

Fitch Solutions dalam laporan prospeknya berkata, ia telah menyemak turun unjuran defisit Belanjawan Malaysia 2023 berikutan jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada 2023 dijangka berkurang kepada RM386.1 billion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu.

 

Katanya, belanjawan yang disemak semula itu lebih tinggi berbanding RM372.3 bilion sebelumnya yang dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob pada Oktober 2022.

 

"Secara keseluruhan, kami menjangkakan hasil sebagai bahagian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun kepada 15.2% daripada KDNK tahun ini daripada 16.5% pada tahun fiskal sebelumnya dan sedikit di bawah unjuran kerajaan sebanyak 15.4% daripada KDNK untuk 2023," katanya, lapor Bernama.

 

Fitch Solutions menjangkakan, perbelanjaan akan merosot kepada kira-kira 20.1% daripada KDNK pada 2023 daripada 22% pada 2022.

 

"Disebabkan kadar penyatuan fiskal yang lebih pantas, kami menjangkakan jumlah hutang kerajaan sebagai sebahagian KDNK akan mencecah 60.7% pada 2023, berbanding jangkaan kami sebelum ini sebanyak 63.4%.

 

"Walaupun ini akan memberi petunjuk bahawa peningkatan daripada jangkaan disemak semula sebanyak 59.6% daripada KDNK pada 2022, nisbahnya jauh di bawah had hutang berkanun yang disemak sebanyak 65%.

 

"Angka itu juga turun daripada paras tertinggi sebanyak 63.5% yang dicatatkan pada 2021," katanya. - DagangNews.com