KUALA LUMPUR 21 Okt - Ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang 5.3% pada suku tahun ketiga 2024, lanjutan daripada peningkatan kukuh 5.9% pada suku tahun sebelumnya dan 4.2% pada suku pertama tahun ini, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diramal berkembang 5.1% bagi tempoh dari Januari hingga September 2024, berbanding 3.8% pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Pasaran buruh yang stabil, tekanan inflasi yang sederhana, dasar fiskal dan monetari yang menggalakkan, serta pemulihan berterusan dalam aktiviti pelancongan dijangka meneruskan momentum pengembangan dalam ekonomi domestik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan petunjuk yang dikeluarkan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 6.7% pada Julai dan menyederhana kepada 4.7% pada Ogos 2024.
Sementara itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) berkembang 5.3% dan 4.1% masing-masing pada Julai dan Ogos 2024.
“Bagi sektor luaran, perdagangan Malaysia menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan eksport sebanyak 7.8% dan pertumbuhan import 20.8% pada suku tahun ini," katanya.
Mohd Uzir berkata, prestasi ekonomi pada suku tahun ini dipacu oleh sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 5.1% (Suku Kedua 2024, 5.9%), diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan dan perkhidmatan perniagaan.
Selain itu, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan yang lebih baik kepada 5.7% berbanding 4.7% pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
Sektor pembinaan terus melonjak dengan pertumbuhan 19.5%, meningkat daripada 17.3% berikutan prestasi kukuh dalam semua segmen, terutamanya aktiviti pembinaan pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman.
Manakala sektor pertanian meningkat lebih perlahan pada suku tahun ini pada 4% berbanding 7.2% pada suku kedua 2024, berkutan pertumbuhan sederhana dalam subsektor kelapa sawit.
Bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian menyusut 3.4% berbanding pertumbuhan 2.7% pada suku tahun sebelumnya, dipengaruhi penurunan dalam subsektor gas asli dan minyak mentah dan kondensat.
"Susulan anggaran awalan ini, laporan awal KDNK yang menyediakan set data analisis terperinci dan komprehensif bagi suku ketiga 2024 akan dikeluarkan pada 15 November 2024," katanya.- DagangNews.com