Sektor perladangan diramal terjejas kesan kenaikan gaji minimum pekerja menerusi Belanjawan 2025, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Sektor perladangan diramal terjejas kesan kenaikan gaji minimum pekerja menerusi Belanjawan 2025, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - Syarikat-syarikat dalam sektor perladangan diramal terjejas oleh pengumuman Belanjawan 2025 disebabkan kenaikan gaji minimum, sistem pelbagai peringkar ke atas levi pekerja asing serta kenaikan duti eksport minyak sawit mentah (MSM).

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kenaikan gaji minimum memberi kesan besar kepada banyak syarikat tetapi ia bagaimanapun diimbangi penjimatan levi keuntungan luar biasa (WPL) yang lebih rendah serta peningkatan harga MSM.

 

“Berdasarkan anggaran awal kami, gaji minimum baharu akan membawa kepada gaji yang lebih tinggi iaitu RM1.1 juta hingga RM51.1 juta untuk syarikat pengeluar di bawah liputan kami, dengan paling kurang terjejas ialah TSH Resources Bhd, dan paling terjejas ialah SD Guthrie Bhd (disebabkan oleh saiz ladangnya dan jumlah pekerja di Malaysia),” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu boleh diimbangi penjimatan daripada WPL selepas ia dinaikkan sebanyak RM150 bagi setiap tan dalam harga MSM sebelum dikenakan cukai dan ia boleh menghasilakn penjimatan bersih kira-kira RM200,000 hingga RM16.8 juta setahun.

 

Katanya, perkiraan itu adalah berdasarkan andaian harga MSM sebanyak RM3,700 setiap tan pada 2025.

 

Memandangkan duti eksport MSM Malaysia Timur nampaknya dikecualikan daripada peraturan baharu ini, nampaknya terdapat pilihan untuk pengeluar terpilih (seperti SDG, IOI, KLK dan GENP) dengan operasi perladangan di kedua-dua wilayah untuk mempertimbangkan untuk mengeksport MSM dari Malaysia Timur.

 

"Sebagai alternatif, kadar duti eksport MSM yang lebih tinggi mungkin hanya memberi insentif kepada pengeluar bersepadu untuk mempertimbangkan untuk mengeksport lebih banyak minyak sawit diproses yang memberikan duti sifar," katanya.

 

Maybank IB berkata, analisis impak pendapatan itu bagaimanapun belum mengambil kira kesan cadangan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing kerana tarikh permohonan perkara itu masih belum diketahui.

 

Katanya, pada masa sama tidak dapat dipastikan sama ada sektor perladangan yang banyak bergantung kepada pekerja asing (kerana kekurangan minat pekerja tempatan) akan dikecualikan daripada caruman itu. 

 

"Jika dilaksanakan, caruman KWSP baharu secara amnya memberi kesan negatif kepada pendapatan pengeluar," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com