flexi2pay bantu pengguna urus dan catat aktiviti kewangan | DagangNews Skip to main content

flexi2pay bantu pengguna urus dan catat aktiviti kewangan

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos 2020 - Aplikasi ciptaan Malaysia, flexi2pay dilancarkan baru-baru ini bagi membantu golongan yang bekerja sendiri atau pekerja ekonomi gig mengurus aktiviti perniagaan mereka secara lebih mudah dan efisien.

Aplikasi mudah alih percuma yang pertama di dunia ini berhasrat untuk menyokong komuniti gig secara keseluruhannya untuk memudahkan mereka merekod dan mengira pembayaran atau potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan cukai pendapatan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif flexi2pay, Victor Phang berkata, ekonomi gig di Malaysia dijangka akan terus berkembang pada kadar 25.4% khususnya selepas penularan wabak COVID-19 apabila ramai dalam kalangan orang yang hilang pekerjaan memilih untuk memulakan perniagaan dari rumah atau secara sambilan untuk kelangsungan hidup.

ed
                               VICTOR PHANG


"Golongan ini memerlukan bantuan dari segi khidmat nasihat dan tunjuk ajar yang akan menggalakkan mereka untuk menyumbang pada keperluan berkanun seperti KWSP,  PERKESO dan LHDN secara tidak langsung dapat membantu ekonomi negara kita berkembang.

"flexi2pay akan menjadi satu tambah nilai bagi golongan yang bekerja sendiri untuk menikmati gaya hidup selesa dari segi kewangan dan lebih bertanggungjawab untuk diri dan ahli keluarga mereka,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Ekonomi gig adalah satu kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh individu tanpa ada majikan dengan cara menawarkan perkhidmatan kepada orang lain, dan dijalankan sama ada untuk sepenuh atau separuh masa.


Spektrum ekonomi gig boleh dibahagikan kepada 4 kategori:

Kumpulan pertama adalah pekerja ekonomi gig dari industri yang sedang berkembang pesat iaitu yang berasaskan platform, termasuklah e-hailing, pengantar makanan dan perkhidmatan berdasarkan permintaan pengguna atau pembeli.

Kumpulan kedua adalah pekerja bebas atau sambilan (freelancer) iaitu individu yang menawarkan perkhidmatan atau kepakaran seperti rekaan, fotografi atau penulisan.

Kategori yang ketiga adalah golongan bekerja sendiri seperti pengusaha kecil-kecilan, pengusaha e-dagang atau dalam talian serta perunding kecantikan.

Akhir sekali, ejen dan ‘networker’ termasuklah perniagaan pemasaran berbilang tingkat (multi-level marketing), wakil jualan, ejen insurans serta juga ejen hartanah."

Victor yang juga pengasas flexi2pay turut menggalakkan golongan pekerja bebas atau mereka yang bekerja sendiri untuk mendaftarkan perniagaan dan perkhidmatan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Langkah ini akan memudahkan operasi dan aktiviti pemasaran mereka di samping membantu membina kredibiliti serta kepercayaan pelanggan terhadap perniagaan yang berdaftar dan beroperasi mengikut undang-undang.

Tambahan lagi, caruman menerusi KWSP merupakan simpanan persaraan yang paling selamat di mana pencarum akan menerima dividen setiap tahun. Selain itu golongan tersebut boleh menikmati manfaat daripada sumbangan keselamatan sosial mereka apabila berhadapan dengan risiko kemalangan berkaitan kerja yang boleh difailkan menerusi tuntutan dengan PERKESO.

flexi2pay turut menggalakkan individu bekerja sendiri yang mencatatkan pendapatan lebih daripada RM34,000 setahun bagi memohon CP500 untuk membuat bayaran cukai pendapatan secara ansuran. Mereka yang memilih skim ansuran cukai boleh menggunakan flexi2pay untuk mengira sumbangan bulanan mereka secara automatik.

Potongan cukai pendapatan juga boleh meningkatkan skor kewangan mereka yang mampu memudahkan kelulusan pinjaman dengan mana-mana institusi kewangan. Hasil cukai pendapatan juga membantu kerajaan untuk membiayai perkhidmatan awam kepada rakyat termasuk sekolah dan perkhidmatan kesihatan. Ini termasuk juga  bantuan yang disalurkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) selepas penularan wabak COVID-19. Kerajaan juga telah melancarkan satu inisiatif untuk membantu ekonomi gig menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi (PENJANA).

“Melihat pada gambaran keseluruhan, apabila ekonomi gig kita terus berkembang dan menyumbang kepada keperluan berkanun, ini turut membantu menyumbang terhadap keluaran dalam negeri kasar (KDNK),” jelas Phang lagi. Platform berkenaan dijangka akan mengumumkan rakan kongsi mereka dalam masa terdekat.

Apabila pekerja dari ekonomi gig berdaftar dengan platform berkenaan, flexi2pay akan bertindak seperti ‘syarikat korporat besar’ kepada golongan yang bekerja sendiri dengan menawarkan manfaat sama seperti pekerja korporat. Pengguna flexi2pay juga boleh menikmati pelbagai manfaat sama seperti manfaat yang ditawarkan di syarikat korporat yang besar. Malah, individu ekonomi gig juga boleh terus membuat simpanan dalam jangka masa panjang.

Terkini, aplikasi mudah alih berkenaan menawarkan Insurans Perlindungan Kemalangan Diri PERCUMA sehingga RM10,000 selama setahun oleh Allianz bagi mereka yang melanggan untuk keahlian tahunan. flexi2pay menggunakan kekuatan Media Sosial dan kandungan untuk berkongsi maklumat dan  mendidik komuniti gig tentang kepentingan simpanan persaraan, keselamatan sosial dan pengisytiharan cukai pendapatan. Sejak pelancarannya, flexi2pay telah mencatatkan lebih daripada 1,000 pendaftaran keahlian dan lebih daripada 12,000 pengikut di laman sosial mereka.

Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play dan App Store dan boleh didapati dalam versi PERCUMA dan berbayar untuk memenuhi keperluan berbeza individu yang bekerja sendiri. Phang berhasrat untuk meluaskan rangkaian aplikasinya di rantau Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun sebagai pelan perkembangan mereka. - DagangNews.com