FMM kecewa sektor ekonomi lain termasuk pakaian belum boleh dibuka | DagangNews Skip to main content

FMM kecewa sektor ekonomi lain termasuk pakaian belum boleh dibuka

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menzahirkan rasa kecewa apabila sektor-sektor ekonomi lain yang tidak tersenarai dalam industri perlu belum boleh dibuka untuk beroperasi. 

 

“Industri ini (perkilangan) kecewa apabila pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam tidak melibatkan pembukaan baki sektor ekonomi yang tidak termasuk dalam senarai perkhidmatan perlu untuk beroperasi lebih awal seperti tekstil, pakaian dan kasut serta seluruh rantaian bekalan termasuk runcit dan industri atau sektor lain yang secara tidak langsung menyokong perkhidmatan perlu serta syarikat pengeksport utama. 

 

“Sektor-sektor ini tidak boleh kekal ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan kerana akan memberi impak besar kepada perniagaan mereka,” kata Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Di sebalik rasa kecewa itu, Thian Lai bagaimanapun menyokong pengumuman kerajaan untuk memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) dan pematuhannya bagi mengekang penularan COVID-19 yang turut melibatkan kluster di tempat kerja dan kilang. 

 

Namun, beliau menggesa supaya pelaksanaan SOP diselaraskan mengikut garis panduan standard yang telah diumumkan di seluruh negara. 

 

“Kami juga ingin menekankan supaya arahan untuk penutupan segera perniagaan yang tidak patuh SOP dan keadaan operasi perlu diambil dengan pertimbangan penuh mengenai cabaran utama yang dihadapi oleh industri termasuk mereka yang memerlukan kerjasama penuh dengan pihak berkepentingan utama lain seperti majlis tempatan apabila melibatkan pematuhan Akta 446, penginapan pekerja asing,” ulasnya lanjut. 

 

Dalam pada itu, FMM turut menyambut baik penjelasan Ordinan Darurat dan beberapa tindakan lain oleh kerajaan menerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat termasuk cadangan pemindaan beberapa akta. 

 

“Kami juga difahamkan bahawa fasa tiga pelan vaksinasi kebangsaan hanya akan bermula pada Mei 2021 dan ini meliputi majoriti mereka yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. 

 

“Kami memohon supaya kumpulan ini akan diambil kira ke dalam pelan vaksinasi kebangsaan memandangkan mereka penting dalam menyokong perniagaan dan pemulihan ekonomi negara,” tambahnya. - DagangNews.com