Focus Point berjaya memindahkan penyenaraian daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Focus Point berjaya memindahkan penyenaraian daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jan - Focus Point Holdings Berhad berjaya memindahkan keseluruhan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Pemindahan itu melibatkan modal saham terbitan syarikat sebanyak 329 juta saham biasa kumpulan.

 

Pemindahan itu menandakan peristiwa penting bagi syarikat selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 23 Ogos 2010.

 

Ia juga menunjukkan kekuatan kewangan kumpulan kerana berjaya memenuhi keperluan rekod prestasi keuntungan serta kedudukan kewangan dan keperluan kecairan untuk pemindahan ke Pasaran Utama.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point, Datuk Liaw Choon Liang berkata, pemindahan itu akan mengukuhkan lagi kredibiliti kumpulan itu di kalangan pelanggan, pembekal, rakan perniagaan, pekerja serta pemegang saham dan seterusnya mengukuhkan asas pemegang saham syarikat, terutamanya pelabur institusi.

 

"Kami merancang untuk terus meluaskan kehadiran kami dengan memulakan aktiviti pemasaran serta promosi yang berkesan melalui pengembangan cawangan optik dan Komugi baharu.

 

"Komitmen kami dalam mengemudi Focus Point untuk pertumbuhan jangka panjang dan pembangunan kemampanan menunjukkan dedikasi kami dalam menyampaikan hasil yang cemerlang kepada semua pemegang kepentingan kami,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM180.4 juta dan untung bersih selepas cukai sebanyak RM25.4 juta untuk 9MFY22, mewakili peningkatan yang luar biasa masing-masing sebanyak 69% dan 434%.

 

Hasil dan keuntungan bersih selepas cukai adalah lebih tinggi disebabkan jualan yang lebih tinggi daripada kedua-dua perniagaan optik dan F&B. - DagangNews.com