Fonterra Brands Malaysia terima kunjungan Menteri Ehwal Luar Negeri New Zealand | DagangNews Skip to main content

Fonterra Brands Malaysia terima kunjungan Menteri Ehwal Luar Negeri New Zealand

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Koperasi tenusu New Zealand, Fonterra Brands Malaysia menerima kunjungan Menteri Ehwal Luar Negeri New Zealand, Nanaia Mahuta ke kilang nutrisi tepungnya, Susumas yang terletak di Shah Alam. 

 

Lawatan Mahuta ke kilang tersebut merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan New Zealand untuk menghubungkan semula negara itu dengan seluruh dunia.

 

Fonterra yang mula beroperasi di Malaysia pada tahun 1975 menghasilkan jenama-jenama yang cukup dikenali seperti Fernleaf dan Analene selain bekerjasama dengan lebih daripada 10,000 kedai makanan dan minuman di negara ini dalam membekalkan produk berkualiti.

 

Mahuta berkata, di rantau Asia Tenggara, Malaysia merupakan pasaran penting bagi Fonterra, disokong hubungan dua hala New Zealand-Malaysia yang kukuh yang sudah terjalin sejak lebih 60 tahun.

 

“Fonterra adalah perniagaan terbesar New Zealand di Malaysia. 

 

"Lawatan ke kilang Susumas adalah peluang yang baik untuk melihat bagaimana produk tenusu New Zealand dihasilkan dengan selamat, berkualiti tinggi dan mematuhi piawaian untuk dinikmati oleh pengguna di Malaysia dan seluruh rantau Asia. 

 

manuha

 

"Fonterra amat mementingkan aspek kelestarian dalam penggunaan sumber semula jadi dan ini adalah amalan perniagaan penting yang digalakkan oleh kerajaan New Zealand untuk semua perniagaan New Zealand yang menjual produk mereka ke seluruh dunia”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) memberikan keyakinan berterusan kepada Fonterra untuk melabur di Malaysia, menyumbang kepada sumber pekerjaan bagi warga tempatan, sektor pembuatan domestik dan menyokong Malaysia untuk menjadi hab eksport semula dan hab Halal bagi rantau ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Fonterra, Miles Hurrell berkata, keyakinan pihaknya dapat dilihat menerusi saiz perniagaan mereka di Malaysia dan berbangga menjadi pelabur terbesar New Zealand di pasaran.

 

manuha

 

"Komitmen Fonterra telah membantu Malaysia menjadi pasaran eksport tenusu ke-4 terbesar di New Zealand dan kini mempunyai 560 kakitangan tempatan," katanya.

 

"Kami teruja dengan masa depan kami di Malaysia. Strategi kami memfokuskan terhadap penyediaan  nutrisi yang berpatutan untuk semua isi rumah Malaysia, memberikan penyelesaian nutrisi bagi para pengguna dan mewujudkan lebih banyak kerjasama dan inovasi dengan para pelanggan".

 

Fonterra memiliki dua kilang di Shah Alam - Susumas (kilang nutrisi tepung) dan Dairymas (kilang susu cair). Kilang-kilang ini membekalkan produk untuk pasaran tempatan Malaysia bagi eksport semula dan juga menyokong pembuatan produk baharu. - DagangNews.com