Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menerima sumbangan peralatan melawan COVID-19 daripada wakil Freemasons, Jeyaraj Ratnaswamy (kanan) dan Arthur Yeong pada 15 Oktober 2021.
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com
BERITA Persatuan Kebajikan Bintang Utara yang mewakili pertubuhan Freemasons daripada negeri-negeri Utara Semenajung Malaysia telah menyalurkan bantuan pelitup muka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) tular di media sosial.
Sumbangan itu bagi memastikan semua orang terutamanya pasukan frontliner yang masih berlawan dalam musim pandemik.
Majlis penyerahan sebanyak 5,000 buah pelindung muka itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis di Perak pada 15 Oktober lalu.
Perkara mendapat pelbagai reaksi daripada netizen selain turut mempertikaikan sumbangan.
Berhubung dengan perkara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tidak menjadi masalah kepada polis untuk menerima sumbangan itu.
Menurutnya, sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan berkaitan agama atau kepercayaan serta fahaman untuk memberi sumbangan kepada pihak berkuasa.
Beliau juga tidak menghalang mana-mana pihak bagi menghulurkan bantuan dengan mengalu-alukan sumbangan daripada sesiapa sahaja.
Walaupun terdapat netizen yang mempertikai sumbangan itu, perkara itu sebenarnya dapat membantu pihak berkuasa dalam mengekang penularan wabak pandemik.
Ceritanya mengenai Freemason telah lama berkembang di Malaysia malah pertubuhan itu sah di sisi undang-undang.Untuk apa dipertikaikan apabila Freemasons diterima sebagai pertubuhan bukan agama.
Ibu bapa angkat Freemasons di New Zealand
Saya pernah tinggal serumah dengan ibu bapa angkat yang merupakan anggota Freemasons di New Zealand. Malah bapa angkat adalah ketua Freemasons untuk Wainuiomata ketika saya dan Azmy Darlis tinggal bersama mereka pada tahun 1983.
Namanya Ian Smith dan beliau bersama pengetua Wainuiomata College adalah orang kuat Freemasons di Wainuiomata.
Saya mulanya menetap di rumah arwah Dato Lela Diraja Tuan Hj Alias bin Abd Karim di Lower Hutt sebelum berpindah ke rumah Ian dan Anne Smith oleh gurubesar, Trevor Langley.
Saya dan Azmy mula tinggal di rumah ibu dan bapa angkat. Anne adalah wanita 60-an yang baik. Anne lebih kepada saya dengan minat saya kepada kesusasteraan Inggeris dan lagu-lagu sentimental rock seperti The Beatles.
Ian Smith adalah ahli Freemasons yang menjadi orang besar di Wainuiomata. Ian tidak banyak cakap dengan minuman keras dari pagi sampai malam. Mesti minum arak seperti minum air biasa.
Ian banyak kali bercerita pasal Freemasons dengan mengajak saya bersama untuk berkelah setiap bulan. Saya mengikut di mana-mana yang jauh dari Wainuiomata. Saya sentiasa ingat Tasik Henley, Masterton dengan kumpulan Freemasons seluruh New Zealand.
Melawat Lodge Freemasons
Akhirnya Ian mengajak saya ke Lodge Freemasons. Saya pergi dan melihat apakah dia Lodge.
Ada empat naskah al-Quran di Lodge Wainuoimata. Saya terkejut.
Ian memberitahu semua agama Freemasons percaya, cuma Freemasons berada di atas dari semua agama.
Saya bertanya bagaimana untuk jadi ahli.
Ian menjawab, seseorang itu diajak untuk menyertai Freemasons. Dan bukan boleh dipohon oleh sesiapa.
Saya bertanya, siapa rakyat Malaysia yang menjadi ahli Freemasons.
Ian menunjukkan buku senarai ahli Asia. Saya terkejut dengan senarai nama.
Saya ada diajak main golf bersama ahli Freemasons. Saya tidak minat golf. Hanya menonton.
Trevor Langley juga ahli Freemasons.
Menolak sertai Freemasons
Ian mengajak saya menjadi ahli Freemasons, saya menolak. Sebab utama, Freemasons lebih tinggi dari semua agama. Saya anak tok kadi dan ulama, tidak terfikir untuk jadi ahli Freemasons. Saya mula membaca jawi usia 4 tahun lebih dan khatam quran dalam usia muda.
Selain itu, kebimbangan dan kecemasan tentang pemakanan terlerai apabila gurubesar menerangkan yang mereka memahami halal dan haram, serta soal solat, puasa dan lain-lain berkaitan ibadah dalam Islam.
Freemasons menjadi kebimbangan ketiga. Persepsi mengenai Freemasons memang mencemaskan. Bimbang akan terjerumus ke dalam kancah Freemasons tetapi saya banyak belajar mengenai misi dan aktiviti Freemasons dari kedua-dua mereka.
Makna sebenar Freemasons
Freemasons sebenarnya satu persaudaraan yang bersifat aman dan amal yang tidak berlandaskan keagamaan, etnik atau politik.
Tiga prinsip utama Freemasons adalah persaudaraan bersifat toleransi dan ramah antara satu sama lain. Kebajikan melakukan kerja amal dalam kalangan ahli serta komuniti secara umumnya. Kebenaran menuntut kebenaran dalam semua perkara, mengamalkan integriti dalam tindakan harian, dan mematuhi standard moral yang tinggi.
Freemasons telah menyumbangkan berjuta-juta ringgit kepada pelbagai pertubuhan amal dan orang persendirian yang bersifat berbilang kaum dan agama.
Freemasons bukanlah sebuah pertubuhan rahsia dimana peraturan perlembagaan, matlamat, prinsip, tempat pertemuan, dan keanggotaan pertubuhan freemasons diketahui oleh pihak berkuasa dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.
Freemasons bukan suatu agama atau badan keagamaan dengan hala tuju tertentu untuk mencapai kebahagiaan di akhirat.
Tidak terdapat Tuhan "Masonik" dan sebarang perbincangan agama adalah dilarang keras dalam mesyuarat. Ahli Freemasons bebas untuk mengamalkan kepercayaan agama.
Freemasons bukanlah suatu gerakan Zionis dan juga tidak mengancam keamanan nasional Malaysia.
Freemasons tidak menyembah syaitan; tidak ada sebarang upacara pemujaan syaitan dalam mesyuarat.
Freemasons bukan merupakan suatu perintah dunia rahsia yang cuba menegakkan ketuanan global.
Tiada terdapat satu badan tunggal atau berpusat yang memerintah Freemasons sedunia.
Freemasons bukanlah sebuah organisasi politik mahupun agama.
Freemasons ialah organisasi sosial dan persaudaraan yang mempromosikan persaudaraan, keamanan, kebebasan beragama, integriti, standard moral yang tinggi, dan kewarganegaraan yang baik.
Itulah yang saya faham dari Ian Smith dan Trevor Langley di Wainuiomata College New Zealand. - DagangNews.com