Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Sept. - CGS-CIMB Research menjangkakan indeks KLCI akan mencecah paras 1,520 mata pada penghujung tahun ini, turun daripada 1,550 mata yang diramalkan sebelum ini.
Ini didorong oleh perolehan beberapa syarikat daripada 130 yang diperhatikan CGS-CIMB dalam pasaran Bursa Malaysia dijangka menurun selepas menunjukkan prestasi tidak memberangsangkan pada suku kedua 2020 (2Q20).
Penurunan indeks itu sekali gus meletakkan keuntungan bersih yang akan dicatatkan pasaran saham Bursa Malaysia turun 16%, lebih tinggi berbanding 11% yang diramalkan sebelum ini.
“Berdasarkan perubahan perolehan yang diramalkan sebelum ini, kami menjangkakan keuntungan bersih KLCI pada tahun ini menurun 16% setelah kami merendahkan lagi ramalan perolehan oleh Kumpulan Genting, Tenaga Nasional, MISC dan IHH.
“Kami menjangkakan perolehan syarikat korporat akan mengukuh pada separuh tahun kedua 2020 (2H20) dan suku ketiga 2020 (3Q20) berbanding 2Q20 memandangkan perolehan mereka akan pulih selepas terjejas akibat perintah berkurung sebelum ini didorong oleh permintaan yang tertangguh, pembentukan semula inventori dan pakej rangsangan,” jelas analisis CGS-CIMB.
Daripada 130 syarikat yang CGS-CIMB lakukan pemerhatian secara aktif, sebanyak 25% menunjukkan prestasi lebih baik daripada jangkaan, manakala 36% daripadanya berprestasi lebih rendah pada 2Q20.
Enam sektor yang menunjukkan prestasi lebih baik pada suku berkenaan adalah konglomerat, pengindustrian, insurans, minyak dan gas, infrastruktur pengangkutan dan perniagaan tani.
Secara agregat, keuntungan bersih 2Q20 merosot 56% berbanding tempoh sama tahun lalu kerana penurunan pendapatan signifikan dalam sektor automotif, penerbangan, bank, bahan kimia, pengguna, konglomerat, media, pengangkutan, utiliti, perjalanan dan kegiatan waktu lapang, dan perjalanan infrastruktur.
Ini didorong oleh penjualan eksport dan domestik yang lebih rendah kerana penangguhan operasi, harga jualan yang lebih lemah, penjualan hartanah yang lebih perlahan dan pembayaran untuk pekerjaan pembinaan masih berjalan.
Antara syarikat yang dijangka meraih keuntungan pasaran saham pada tahun kewangan 2020 (FY20) adalah Hartalega Holdings Berhad, Kumpulan CIMB Holdings Berhad, Hong Leong Berhad, Sime Darby Berhad dan Petronas Gas Berhad. - DagangNews.com