Gabungan Menentang kepelbagaian Kesatuan Sekerja gesa kerajaan tangguh RUU Kesatuan Sekerja 1959 | DagangNews Skip to main content

Gabungan Menentang kepelbagaian Kesatuan Sekerja gesa kerajaan tangguh RUU Kesatuan Sekerja 1959

CAMU meminta kerajaan berdialog dengan Kesatuan Sekerja.

KUALA LUMPUR 12 Jun - Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) menggesa kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda  Akta Kesatuan Sekerja 1959, sebaliknya mematuhi Analisis Impak Peraturan 2013 dan juga Konvensyen 144 ILO, serta berdialog dengan Kesatuan Sekerja.

 

Pengerusi CAMU, Zulfakar Mohamed berkata, RUU tersebut telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2022 tetapi Menteri Sumber Manusia telah gagal untuk memanggil Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi mengadakan dialog sosial yang formal, wajar dan bermakna dengan Kesatuan
Sekerja sejak lebih daripada dua tahun.

 

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Industri Minuman Semenanjung Malaysia (NUDIW) menegaskan bahawa Kesatuan Sekerja, sebagai wakil pekerja, adalah pihak berkepentingan yang penting dalam semua perkara berkaitan dengan dasar buruh di Malaysia.

 

Menurutnya, kerajaan telah mengabaikan Analisis Impak Peraturan (RIA) yang dikeluarkan pada 15 Julai 2013, yang menetapkan bahawa sebarang cadangan peraturan baharu atau pindaan ke atas peraturan akan melibatkan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.

 

"Kerajaan juga tidak mengendahkan Konvensyen 144 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Perundingan Tiga Pihak yang memerlukan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan utama mengenai dasar buruh. Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 14 Jun 2002.

 

"Cadangan untuk memperkenalkan peruntukan berkaitan "kepelbagaian Kesatuan Sekerja" dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 dibantah oleh Coalition Against Multiplicity of Unions atau Gabungan Menentang Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU),'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

RUU ini mencadangkan untuk meminda Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan membenarkan lebih daripada satu Kesatuan Sekerja wujud bersama dalam pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama atau serupa.

 

Ke arah mencapai objektif ini, RUU akan meminda sembilan peruntukan yang berkaitan dengan "kepelbagaian Kesatuan Sekerja" dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 semasa.


 

Zulfakar Mohamed
                           Zulfakar Mohamed

 

 

Zulfakar berkata, kerajaan telah gagal untuk mempertimbangkan kesan negatif yang berikut ekoran wujudnya kepelbagaian Kesatuan Sekerja dalam pertubuhan, perdagangan, pekerjaan atau industri yang sama atau serupa"

 

  1. Kepelbagaian Kesatuan Sekerja akan menghakis solidariti dalam kalangan pekerja
  2. Suara sepakat ahli-ahli Kesatuan Sekerja akan menjadi lemah
  3. Kepelbagaian Kesatuan Sekerja akan mewujudkan persaingan antara Kesatuan Sekerja di tempat kerja
  4. Akan mencetuskan ketidakstabilan, ketidakharmonian dan perpecahan di tempat kerja
  5. Akan membawa kepada tindak-tanduk "mencuri" keahlian di antara Kesatuan Sekerja
  6. Akan menghakis sosioekonomi dan hak pekerja
  7. Tindakan majikan memusnahkan/membunuh Kesatuan Sekerja akan meningkat
  8. Kesatuan Sekerja boneka akan ditubuhkan
  9. Kesatuan Sekerja akan berfungsi atas belas kasihan pihak pemerintah

 

Menurutnya, kepelbagaian Kesatuan Sekerja di tempat kerja akan mempunyai kesan-kesan yang berikut:

  • Gaji dan faedah yang ditindas
  • Ketaksamaan pendapatan akan semakin meluas
  • Perjanjian Kolektif yang lemah dan tertangguh

 

Beliau berkata, pindaan yang disyorkan akan mengakibatkan ketidakharmonian industri di tempat kerja yang akan memberi kesan negatif ke atas produktiviti, sekali gus akan membawa impak buruk terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

 

Zulfakar berkata, Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia dalam kes Kesatuan Pekerja-Pekerja Bukan Eksekutif Maybank Bhd lwn Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank & Anor [2018] 2 MLJ 590 telah memutuskan seperti berikut:

"Sudah ada Kesatuan Sekerja sedia ada yang mewakili dan memenuhi industri tertentu yang sama dan ia sepatutnya mengingatkan Ketua Pengarah (Kesatuan Sekerja) bahawa kepelbagaian Kesatuan Sekerja berkenaan dengan pekerjaan yang sama bukan sesuatu yang terbaik dalam (memelihara) keharmonian industri."

 

Katanya, percubaan untuk memperkenalkan peruntukan berkaitan aspek kepelbagaian Kesatuan Sekerja oleh Kerajaan secara terang-terangan mengetepikan kebimbangan yang disuarakan oleh Mahkamah Persekutuan yang mengatakan bahawa "kepelbagaian Kesatuan Sekerja berkenaan dengan pekerjaan yang sama bukan sesuatu yang baik (dari sudut) keharmonian industri". - DagangNews.com