Gagal bayar `pinjaman persahabatan', Mahkamah Tinggi arah Jovian Mandagie bayar RM10 juta kepada dua syarikat | DagangNews Skip to main content

Gagal bayar `pinjaman persahabatan', Mahkamah Tinggi arah Jovian Mandagie bayar RM10 juta kepada dua syarikat

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 12 Julai - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pereka fesyen Datuk Jovian Mandagie untuk membayar RM10 juta kepada dua syarikat dalam kes saman membabitkan `pinjaman persahabatan'.

 

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu pada 2 dan 4 April selepas membenarkan permohonan Bina Pragmatik Sdn Berhad dan Cekap Air Sdn Bhd untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Jovian.

 

Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi, berdasarkan dokumen yang diperoleh media pada Khamis.

 

 

Tetuan Saiful, Roger & Co yang mewakili kedua-dua syarikat mengesahkan perkara itu.

 

Bagaimanapun, Jovian telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 30 April lalu.

 

Beliau disaman secara berasingan oleh kedua-dua syarikat pada 16 Mei 2023 selepas didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.

 

 

Datuk Jovian Mandagie

 

 

Pernyataan tuntutan menyatakan Jovian adalah kenalan kepada Pengarah Cekap Air iaitu Yong Zhen Wei dan Pengarah Bina Pragmatik iaitu Azirul Salihin.

 

Cekap Air mendakwa ia telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan ahli perniagaan itu pada 25 Februari 2022 dengan memindahkan wang ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili pereka fesyen berkenaan.

 

Bina Pragmatik pula mendakwa ia telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian pada 25 Mac 2022 dengan memindahkan wang itu ke akaun pelanggan firma guaman yang sama.

 

Menurut kedua-dua syarikat, firma guaman itu mengesahkan penerimaan wang tersebut.

 

BACA JUGA: Iconic Medicare saman Jovian Apparel atas dakwaan tidak menjelaskan bayaran pelitup muka RM4.96 juta

 

Kedua-dua plaintif berkata pinjaman persahabatan itu perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.

 

Mereka mendakwa pinjaman itu diberi dan dilakukan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan adalah kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana beliau memiliki beberapa perniagaan lain.

 

Ketika itu, Jovian juga adalah menantu Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Bagaimanapun, kedua-dua plaintif mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian pinjaman itu dan sehingga kini gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan menyebabkan mereka mengalami kerugian. - DagangNews.com