KUALA LUMPUR 29 Sept - CGS-CIMB Research menjangkakan Gamuda Berhad meraih enam projek baharu dalam tempoh antara tiga hingga 15 bulan akan datang.
CGS-CIMB Research berkata, enam projek itu merangkumi terowong MRT 3, pakej kedua Suburban Rail Loop East, projek infrastruktur di Taiwan, Lebuhraya Pan Borneo Sabah, LRT Pulau Pinang, dan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) domestik.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga memberi jaminan bahawa projek Pakej Terowong Sydney Metro West–Western (SMW-WTP) sedang berjalan dengan baik dan bajet 2023-20424 New South Wales mengesahkan komitmen kerajaan negeri terhadap projek itu.
Katanya, kumpulan itu juga menyemak semula sasaran bagi menggandakan pendapatannya pada FY24 antara RM17 bilion hingga RM18 bilion, lebih agresif berbanding sasaran awal sebanyak RM13 bilion.
"Beradasarkan andaian pengiktirafan yang lebih pantas, buku pesanan sedia adanya sebanyak RM21.8 bilion pada 31 Julai 2023, lebih daripada dua kali ganda hasil hartanahnya kepada RM6 bilion.
"Ia juga disokong oleh pengiktirafan RM6.7 bilion jualan belum dibilkan untuk projek di Singapura, United Kingdom dan Australia (dengan pengiktirafan akauan hanya dibuat selepas projek siap).
"Kumpulan itu terus memberi panduan bahawa jumlah pesanan baharunya akan meningkat kepada RM25 bilion antara FY24 hingga FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih Gamuda melonjak kepada RM1.84 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (FY23), berbanding RM806.23 juta tahun sebelumnya.
Pendapatan pemaju hartanah itu melonjak 41% dari tahun ke tahun kepada RM9.1 bilion pada FY23 termasuk bahagian hasil syarikat usaha sama bernilai RM807.64 juta.
Bagaimanapun, Gamuda berdepan beberapa risiko termasu isu kekurangan tenaga pekerja yang mungkin menjejaskan kemajuan projek di dalam dan luar negara selain kelewatan dalam penganugerahan projek baharu.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM5.65 sesaham. - DagangNews.com