Gamuda raih kontrak RM1.77 bilion bina stesen MRT West Coast di Singapura | DagangNews Skip to main content

Gamuda raih kontrak RM1.77 bilion bina stesen MRT West Coast di Singapura

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - Gamuda Berhad telah menerima kontrak untuk membina stesen transit aliran massa (MRT) West Coast daripada Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) bernilai S$509.57 juta (RM1.77 bilion).

 

Dalam makluman Gamuda kepada Bursa Malaysia hari ini, cawangannya di Singapura telah diberi kontrak untuk mereka bentuk dan membina stesen dan terowong West Coast.

 

Skop projek tersebut merangkumi satu stesen bawah tanah dan dua terowong sepanjang 1.9 kilometer.

 

Menurut kumpulan itu, stesen tersebut merupakan sebahagian daripada Cross Island Line Fasa Dua (CRL2), yang mempunyai enam stesen, iaitu laluan MRT kelapan Singapura.

 

“Projek itu berdiri sebagai usaha niaga bebas Gamuda di Singapura, mempamerkan kehebatan kejuruteraan kumpulan dan mengukuhkan peranannya sebagai penggiat utama dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan negara itu,” katanya.

 

Gamuda berkata, pembinaan stesen itu dijangka bermula suku pertama tahun depan dan disasarkan siap pada 2032.

 

“Projek dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan Kumpulan Gamuda bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024,” katanya.

 

Saham Gamuda ditutup lebih rendah 1 sen atau 0.2% pada RM4.41 dengan permodalan pasaran berjumlah RM11.9 bilion.  - DagangNews.com