KUALA LUMPUR 4 Feb - RHB Research menjangkakan Genting Malaysia Berhad (GENM) tidak akan terjejas dengan kes membabitkan Genting Hong Kong (GENHK) kerana konglomerat itu tidak mempunyai sebarang pengangan dalam GENHK.
"Pemegang saham minoritinya berkemungkinan menolak sebarang cadangan yang berpotensi iaitu berkaitan dengan menyelamatkan GENHK," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Firma penyelidikan itu dijangka mampu menyumbang sehingga RM290 juta kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tahunan GENM berdasarkan kepada anggaran 10,000 pengunjung sehari.
Genting SkyWorlds akan mempercepatkan trend pemulihan perniagaan GENM kerana ia bakal menjadi tarikan orang ramai dan menyediakan aliran pendapatan baharu selain turut memanfaatkan kemudahan lain dalam Resorts World Genting (RWG).
"Difahamkan akan ada diskaun 20% untuk harga tiket semasa pra-pelancaran awal memandangkan terdapat beberapa daya tarikan masih lagi menjalani proses pentauliahan terakhir dan tidak tersedia untuk orang awam.
"Taman tema ini mungkin akan beroperasi mengikut kapasiti 50% berbanding kapasiti penuh 20,000 pelawat pada satu-satu masa terlebih dulu disebabkan oleh prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan," katanya, lapor Berita Harian.
Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan perniagaan keseluruhan RWG pada suku keempat 2021 (4Q21) adalah kukuh walaupun terdapat sedikit gangguan daripada tanah runtuh pada Disember 2021.
"Meskipun kehadiran pengunjung di SkyAvenue semasa kami mengadakan lawatan tapak baru-baru ini adalah kelihatan lebih rendah, ia mungkin disebabkan oleh pada hari biasa.
"Kami percaya perniagaan RWG akan terus pulih dengan kukuh, terutama sebaik sahaja Genting SkyWorlds dibuka kerana ia sepatutnya menjadi tarikan orang ramai dan memanfaatkan kemudahan lain dalam RWG melalui kehadiran yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com