Golongan bekerja sendiri terus terjejas akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Golongan bekerja sendiri terus terjejas akibat COVID-19

 

 

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada suku keempat 2020 meningkat 0.1% kepada 68.5 % berbanding 68.4% pada suku sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan hari ini. 

 

Ini menyaksikan situasi penawaran pasaran buruh bertambah baik secara beransur-ansur pada suku tersebut dengan tenaga buruh terus meningkat 0.5% kepada 81,700 mencatatkan 15.92 juta orang. 

 

Tenaga buruh terdiri daripada guna tenaga dan pengangguran.

 

Bagaimanapun, kadar pengangguran pada suku keempat 2020 meningkat kepada 4.8% dengan bilangan penganggur seramai 760,700 orang berbanding 4.7% pada suku sebelumnya. 

 

Jabatan Perangkaan Malaysia

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nisbah guna tenaga kepada penduduk umur bekerja yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.2%.

 

Katanya, jumlah penduduk di luar tenaga buruh pada suku ini adalah 7.32 juta orang atau 31.5% daripada penduduk dalam kumpulan umur bekerja. 

 

Pada suku keempat dan merupakan suku tahun terakhir 2020, penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan secara berperingkat. 

 

Pelaksanaan PKPB ini bermula di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada Oktober 2020. 
Seterusnya PKPB diperluaskan ke seluruh negeri sehingga akhir tahun, namun perjalanan merentas negeri dibenarkan pada Disember 2020. 

 

Bagaimanapun, dengan bilangan kes harian COVID-19 yang bertambah, pasaran buruh turut terkesan.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia

 

Mohd. Uzir berkata, dalam tempoh pandemik, kumpulan bekerja sendiri adalah kumpulan yang paling terjejas.

 

"Peratus sumbangan bekerja sendiri jatuh 0.7% dengan merekodkan 2.44 juta orang berbanding 3.53 juta pada suku sebelumnya.

 

"Bagi kategori pekerja yang merangkumi 11.7 juta orang, peratus sumbangan meningkat 0.8% kepada 77.2 juta orang berbanding suku sebelumnya, 11.53 juta orang," katanya.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia

 

Penduduk bekerja separuh mahir mendominasi pasaran buruh sebanyak 58.4% diikuti oleh pekerja mahir iaitu 30.1%.

 

Sementara itu, katanya, pekerja berkemahiran rendah adalah sebanyak 11.5% pada suku tahun keempat 2020.

 

"Komposisi pekerja berkemahiran rendah menurun sebanyak 0.9% daripada 12.4% pada suku ketiga. 

 

"Bilangan pekerja mahir meningkat sebanyak 168,800 kepada 4.56 juta orang berbanding 4.39 juta orang pada suku ketiga 2020," katanya. 

 

Berdasarkan statistik itu juga, didapati pada suku tahun keempat 2020, jumlah penduduk bekerja yang
bekerja kurang 30 jam seminggu meningkat seramai 129,900 merekodkan 533,700 orang berbanding 403,800 pada suku sebelumnya.

 

Menurut beliau, ini secara tidak langsung menunjukkan peratus sumbangan mereka yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu kepada jumlah penduduk bekerja meningkat kepada 3.5% pada suku ini.

 

"Seperti yang diperhatikan bagi siri suku tahun pertama 2019 hingga suku keempat 2020, peratus sumbangan mereka yang bekerja kurang 30 jam seminggu kepada jumlah penduduk bekerja dalam lingkungan 2 hingga 2.5% pada 2019. 

 

"Bagaimanapun, sumbangan peratus tersebut meningkat kepada 4.4% bermula suku pertama 2020 dan terus
meningkat lebih tinggi kepada 5.3% pada suku kedua 2020 disebabkan kesan negatif pelaksanaan PKP pada
pertengahan Mac 2020," jelas beliau. 

 

Bekerja kurang 30 jam seminggu merujuk mereka yang bekerja kurang daripada tempoh itu pada minggu rujukan
disebabkan keadaan kerja atau kerana kerja tidak mencukupi.

 

Kaji selidik itu juga mendapati, pada suku keempat 2020, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran terus meningkat kepada 37.4% selama 4 suku tahun berturut-turut sejak suku ketiga 2019. - DagangNews.com