ALOR SETAR 15 Julai - Kumpulan GPC Development terus memberi tumpuan terhadap pelaksanaan projek rumah mampu milik di bawah harga RM300,000 yang dianggap kurang berisiko dan mendapat sambutan baik dari rakyat negeri ini.
Pengarah Urusannya, Phoo Meng Khaw berkata, antara projek yang sedang berjalan termasuklah Taman Puteri di Pokok Sena, Taman Indah di Jeniang serta dua projek di Alor Setar iaitu Taman Cassia dan Taman Nabira di Alor Setar.
Begitu pun kata beliau, pihaknya tidak menolak untuk kembali dengan projek kondominium mewah pada masa akan datang susulan sambutan menggalakkan diterima projek G Residence di tengah-tengah bandaraya Alor Setar.
"Kami bermula sebagai sebuah syarikat kecil di negeri ini. Dengan latar belakang itu, kami agak bersifat konservatif serta tidak mahu mengambil risiko.
"Lagi pun di Kedah ini kami dapati pasaran untuk unit kediaman sebegitu yang paling mendapat sambutan dan diperlukan. Disebabkan itulah kami menjalankan projek sedemikian di merata tempat dalam Kedah.
"Fokus kami masih di Kedah dengan GPC Development memiliki bank tanah sangat kuat untuk tempoh 10 ke 15 tahun. Kami ini boleh dikatakan 'pemaju kampung' dan selama ini memang lebih memberi tumpuan dan fokus kepada pembangunan rumah di tanah pada harga mampu milik berharga RM300,000 ke bawah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada DagangNews pada Majlis Penyerahan Kunci Kepada Pemilik Unit G Residence yang disempurnakan Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd. Yusri Md. Daud, pada Jumaat.
Mengulas mengenai Projek G Residence, Phoo berkata, lebih 80 peratus unit telah terjual dengan profil pembelinya terdiri daripada golongan profesional, perniagaan serta petugas kerajaan dan swasta.
Menurutnya, GPC Development menganggap pencapaian itu sebagai satu kejayaan kerana ramai yang sangsi dengan projek sedemikian sebelum ini.
"Bukan saja persepsi umum, malah dapatan kami sendiri menunjukkan 80 peratus penduduk di Kedah lebih selesa dengan rumah di tanah berbanding kediaman tingkat tinggi seperti kondominium.
"Kejayaan ini bagi kami berjaya memecahkan persepsi bahawa unit kediaman di bangunan tinggi yang popular di Kuala Lumpur, tidak akan berjaya di Kedah. Walaupun pasarannya kecil, tetapi itu tidak bermakna tiada pihak mahukannya," katanya.
Sehubungan itu katanya, GPC Development memiliki perancangan untuk melaksanakan lagi projek sedemikian pada masa akan datang bagi memenuhi keperluan pasaran yang dianggap sebagai 'istimewa' di negeri ini.
"Bila dan di mana lokasinya belum dipastikan. Namun kami tidak menolak untuk melaksanakan lagi projek seperti ini, bergantung kepada perancangan dan kelulusan pihak berwajib," katanya. - DagangNews.com