Grab kurangkan caj komisen PKS semasa PKP ini | DagangNews Skip to main content

Grab kurangkan caj komisen PKS semasa PKP ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Sebagai langkah untuk menyokong rakan perniagaan terus berkembang, Grab Malaysia mengurangkan lagi had komisen sebanyak 5% kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

 

Ini berkuatkuasa ke atas semua rakan peniaga Food dan Mart di seluruh negara, mulai 13 Januari hingga 10 Februari 2021, kata Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh.

 

“Sejak PKP tahun lalu, kami telah mengurangkan komisen maksimum yang dikenakan kepada rakan peniaga Grab. Seiring penambahbaikan platform Grab, kami ingin terus menyokong rakan peniaga untuk berkembang.

 

Sean Goh
Sean Goh

 

“Untuk terus menyokong rakan restoran kami, mulai 13 Januari hingga 10 Februari 2021, Grab akan menanggung semua kos untuk pesanan pengambilan sendiri yang dibuat melalui Aplikasi Grab dan menawarkan tanpa caj komisen buat sementara waktu jika pelanggan memilih untuk mengambil pesanan makanan mereka sendiri.

 

“Pesanan ambil sendiri akan membolehkan pra-pesanan tanpa sentuhan dan pengambilan tanpa tunai untuk membantu operasi kedai yang lebih selamat,” jelas Goh dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Selain inisiatif berkenaan, Goh berkata, Grab juga mengembalikan kempen ‘Local Heroes’, untuk meningkatkan kesedaran dan kehadiran mereka melalui pelbagai saluran pemasaran dan digital.

 

Ujar beliau, peniaga yang mengambil bahagian dalam 'Grab Local Heroes' yang hampir sama pada tahun lalu menyaksikan peningkatan penjualan sehingga 43%.

 

“Oleh itu, kami yakin ini akan membantu meningkatkan kesedaran tentang perniagaan mereka pada kali ini.

 

“Dalam sepuluh bulan terakhir, perniagaan pelbagai bentuk dan saiz telah menghadapi pelbagai cabaran tersendiri akibat wabak COVID-19. Sementara  kita mengalami fasa pergerakan terhad terkini, menyokong komuniti peniaga kami adalah menjadi keutamaan kami,” tambahnya lagi.

 

Dalam pada itu, menerusi platform GrabMerchant, Grab telah mengurangkan kos penghantaran untuk peniaga Food dan Mart yang terpilih dan berdekatan serendah 50 sen.

 

Inisiatif lain di bawah program itu termasuk Makanan Food Court Kegemaran ‘Mix & Match’, kos penghantaran sekali, penghantaran percuma tanpa had untuk sajian kegemaran ‘Signature’  dan pulangan mata ganjaran PKP eksklusif untuk GrabRewards. – DagangNews.com