Grab Malaysia tawar hadiah RM300,000 termasuk Perodua Bezza menerusi kempen cabutan bertuah kepada rakan pemandu | DagangNews Skip to main content

Grab Malaysia tawar hadiah RM300,000 termasuk Perodua Bezza menerusi kempen cabutan bertuah kepada rakan pemandu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei - Grab Malaysia melancarkan kempen cabutan bertuah untuk menawarkan peluang kepada rakan pemandu sedia ada dan baharu memenangi dua buah kereta Perodua Bezza dan hadiah-hadiah menarik lain bernilai hampir RM300,000. 

 

Grab dalam kenyataan hari ini berkata, kempen ini mencerminkan komitmen Grab kepada rakan-pemandunya, dengan memberikan kemudahan untuk mereka menjana pendapatan di platform tersebut serta menarik lagi penyertaan rakan pemandu baharu bagi memastikan permintaan terhadap kesalinghubungan yang kian meningkat di Malaysia dapat dipenuhi. 

 

Katanya, kempen ini berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Julai 2023 dan rakan pemandu boleh mengambil bahagian hanya dengan menyempurnakan tempahan, yang akan ditukarkan kepada bilangan penyertaan berdasarkan peringkat mereka. 

 

"Rakan pemandu yang baru menyertai Grab dan akaun yang telah diaktifkan dalam tempoh ini akan menerima 100 penyertaan dan tambahan 2 penyertaan lagi bagi setiap tempahan yang disempurnakan selepas itu," katanya.

 

Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, misi pihaknya adalah untuk menyediakan pilihan pengangkutan yang selamat dan mudah untuk rakyat Malaysia, dan pada masa sama meningkatkan lagi taraf hidup mereka. 

 

"Dengan permintaan terhadap tempahan pengangkutan yang semakin bertambah, kami akan meneruskan usaha untuk meningkatkan dan mengoptimalkan jumlah pemandu kami yang aktif untuk kekal di hadapan gelombang ini. 

 

"Kempen ini juga bertujuan memberikan dorongan kepada mereka yang ingin merebut peluang dalam ekonomi digital, supaya dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk menjana  sumber pendapatan tambahan," katanya.

 

 

grab

 

 

Dalam pada itu, Grab juga komited dalam memberikan sokongan ke arah kesejahteraan dan kestabilan rakan-pemandunya menerusi GrabBenefits. 

 

Program ini menawarkan pelbagai manfaat, termasuklah akses kepada kedudukan kewangan yang terjamin menerusi insurans dan pengurangan kos, serta peluang untuk pembangunan kerjaya. 

 

Kempen ini merupakan peluasan bagi GrabBenefits di bawah kumpulan manfaat ‘Penjimatan’, khususnya dengan membantu mengurangkan kos operasi yang lazimnya perlu ditanggung rakan pemandu. 

 

Kempen yang telah dianjurkan sebelum ini termasuklah ‘Raya Lagi Mantap Bersama Grab’ di mana rakan-rakan Grab berpeluang mendapat penjimatan tambahan sehingga RM2,000, dan pemberian baucar Shell bernilai RM300 untuk membantu menjimatkan kos bahan api. - DagangNews.com