KUALA LUMPUR 19 April — Great Wall Motor (GWM) Malaysia akan mengadakan siri jerayawara di seluruh Malaysia bagi memperkenalkan GWM Tank 300 yang dinanti-nantikan.
SUV ‘off-road’ bercirikan lasak dan mewah ini bakal membuat penampilan pertamanya sebagai model perintis dalam siri Tank di Malaysia.
Siri ‘roadshow’ ini akan berlangsung di Aeon Mall Kuching Central, Sarawak, dari 19 hingga 21 April 2024; Queensbay Mall, Pulau Pinang, dari 24 hingga 28 April 2024; Sunway Pyramid, Selangor, dari 25 hingga 28 April 2024; Vivacity Megamall, Sarawak, dari 26 hingga 28 April 2024; dan Ipoh Parade, Perak, dari 8 hingga 12 Mei 2024.
Acara ‘roadshow’ ini bakal mempamerkan barisan model di bawah jenama GWM yang kini dipasarkan di Malaysia, termasuk ORA Good Cat dan coupe elektrik ORA 07, yang baru sahaja dilancarkan.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menikmati pratonton eksklusif SUV hibrid segmen C yang akan datang — GWM Haval H6 HEV, selain daripada menikmati keterujaan GWM Tank 300!
GWM Tank 300 adalah SUV ‘off-road’ serba boleh yang menggabungkan aspek kemewahan dan pengembaraan, di samping kelengkapan dan ciri-cirinya yang mengagumkan.
Kenderaan pacuan empat roda 4x4 ini dilengkapi dengan ‘differential lock’ hadapan dan belakang, menyerlahkan lagi kemampuannya untuk menakluki sebarang jenis permukaan laluan.
GWM Tank 300 kini memegang takhta teratas dalam pasaran SUV ‘off-road’ di China, dengan bahagian pasaran melebihi 50%, dan telah mengekalkan kedudukannya sebagai SUV ‘offroad’ terlaris selama 39 bulan berturut-turut.
"Tank 300 adalah salah satu daripada barisan produk unggul GWM dalam usaha kami mempromosikan kenderaan mesra pengguna untuk pasaran Malaysia," kata Mike Cui An Qi, Pengarah Urusan GWM Malaysia.
"Kami sentiasa komited untuk menawarkan pilihan ideal kepada penggemar pemanduan ‘off-road’ agar dapat mengendalikan ‘tank’ mereka dengan keselesaan dan keselamatan yang optimum."
Selain daripada siri acara ‘roadshow’ ini, GWM Tank 300 juga bakal dipamerkan secara eksklusif di bilik pameran GWM yang terpilih. - DagangNews.com