Green Packet lancarkan kempen ‘#DemiTersayang’ untuk tingkatkan kadar vaksinasi | DagangNews Skip to main content

Green Packet lancarkan kempen ‘#DemiTersayang’ untuk tingkatkan kadar vaksinasi

PETALING JAYA 28 Julai – Green Packet Berhad melancarkan kempen sosial untuk menyebarkan kesedaran mengenai Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bersama rangkaian rakan kongsinya, dengan fokus pada kalangan yang memerlukan di seluruh negara.

 

Sementara negara sedang bersiap untuk membuka semula ekonomi, kerajaan telah meningkatkan usaha untuk mempercepatkan program vaksinasi di seluruh negara dengan meningkatkan sumber vaksin dan membuka lebih banyak pusat vaksinasi.

 

Sebilangan besar penduduk Malaysia secara umumnya menerima usaha inokulasi, namun masih ada segelintir rakyat yang menunjukkan keengganan untuk mengambil bahagian kerana khuatir dengan kesan sampingan dan keberkesanan vaksin secara keseluruhannya.

 

Oleh itu, tujuan kempen #DemiTersayang adalah untuk mengurangkan kebimbangan kumpulan tersebut dengan menggalakkan rakyat Malaysia yang telah menerima vaksin untuk berkongsi cerita mereka melalui gerakan sosial secara dalam talian dan mendorong orang lain untuk turut menerima vaksinasi.

 

Inspirasi kempen ini berasal daripada kisah seorang warga emas berusia 73 tahun di Terengganu yang mengambil vaksin ‘Demi Anak’ kerana ingin berjumpa semula dengan anak-anaknya dan melindungi mereka daripada virus.

 

Sebilangan besar kisah yang telah dikongsi setakat ini menunjukkan rakyat Malaysia sedia menerima vaksin terutamanya untuk melindungi orang tersayang.

 

Sehubungan dengan itu, Green Packet telah menghasilkan video dan visual yang menjelaskan langkah-langkah bagi pendaftaran vaksin melalui aplikasi mudah alih MySejahtera atau laman web www.vaksincovid.gov.my.

 

Kumpulan syarikat tersebut telah melibatkan semua aset digital milik syarikat  termasuk laman web, platform media sosial dan komunikasi dalam aplikasi untuk meningkatkan kesedaran dan kepentingan vaksinasi.

 

Inisiatif ini disokong oleh beberapa rakan kongsi Kumpulan Syarikat  tersebut, iaitu Digital Perak, GPPPKMM & Warongku, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mencapai semua lapisan masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan bagi menyebarkan kesedaran mengenai program vaksin Kerajaan.

 

Green Packet juga menyokong sistem kesihatan kebangsaan dalam usaha menangani COVID-19 untuk memastikan semua pekerjanya dapat divaksinasikan. Ia menawarkan Ujian Saringan Antibodi kepada semua pekerjanya melalui rakan kongsinya, CareValet yang membolehkan pengesanan kehadiran antibodi dalam seseorang bagi memastikan keberkesanan vaksin terhadap individu terbabit. Di samping itu, semua pekerja Kumpulan Syarikat ini boleh memanfaatkan tawaran yang sedia ada untuk mengambil preskripsi Perubatan Jangka Panjang.

 

Pegawai Strategi Kumpulan Green Packet, Ku Kok Peng berkata, di Green Packet, matlamat transformasi syarikat adalah untuk memastikan setiap insan mampu maju dengan inovasi digital.

 

“Itulah sebabnya pelbagai penyelesaian teknologi kami direka untuk memperjuangkan perkembangan segmen yang memerlukan dengan menyediakan solusi untuk mendorong mereka supaya celik digital.

 

“Dengan memanfaatkan kekuatan kolaborasi yang ada, kami berharap dapat menggunakan teknologi supaya sampai kepada semua lapisan masyarakat Malaysia untuk menyokong matlamat negara dalam mencapai imuniti kelompok terhadap virus COVID-19 dan mengakhiri wabak tersebut. Kami berharap dengan perkongsian kisah vaksinasi ini, ia dapat memberi impak yang berkekalan. " katanya. - DagangNews.com