GWGF sokong hasrat PM, legakan FELDA | DagangNews Skip to main content

GWGF sokong hasrat PM, legakan FELDA

Peneroka Felda

KUALA LUMPUR 10 Julai - Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) memberi sokongan penuh kepada hasrat serta impian Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan kemajuan dan pembangunan seimbang penduduk khususnya dalam masyarakat FELDA.

Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail berkata,  pengumuman serta hasrat yang disuarakan Perdana Menteri itu jelas memberi kelegaan kepada masyarakat FELDA yang sememangnya mengharapkan pembangunan ekonomi mereka.

"Ini sedikit sebanyak melegakan masyarakat FELDA yang mengharapkan keadaan ekonomi pulih selepas pergolakan politik negara yang turut mengancam sosio-ekonomi FELDA. 

"Kini masyarakat FELDA boleh menarik nafas lega. Seperti sebelum ini juga, golongan profesional anak-anak peneroka GWGF bersedia berganding bahu sekiranya diperlukan untuk bersama-sama merialisasikan usaha murni Perdana Menteri itu," katanya dalam satu kenyataan.

Presiden GWGF , Tan Sri Rozali Ismail
Rozali Ismail

 

Terdahulu, Perdana Menteri semasa Sambutan Hari Peneroka FELDA 2020 mengumumkan beberapa perkara yang jelas memberi kelegaan kepada masyarakat FELDA seperti peruntukan pendidikan anak-anak FELDA, naik taraf dan selenggara jalan pertanian serta menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji kaedah terbaik untuk membangunkan semula FELDA sebagai sebuah institusi unggul negara dalam konteks pengeluaran minyak sawit dunia.

Tambah Rozali, pihaknya memohon jasa baik dan pertimbangan Perdana Menteri agar pihak FELDA turut memberi penekana kepada masalah yang lebih kritikal di tanah rancangan mereka.

"FELDA juga perlu beri perhatian kepada masalah tanaman semula di seluruh negara. Tanaman semula adalah penentu kepada produktiviti atau hasil buah yang dikeluarkan bagi menjana pendapatan peneroka dan negara selain masalah isu penyata hutang tahunan dan bulanan, masalah sosial serta bekalan air di tanah rancangan FELDA.

"Keprihatinan Perdana Menteri untuk melihat FELDA bangkit semula sangat disambut baik seluruh warga peneroka. Saya menyeru seluruh warga peneroka dimana sahaja mereka berada agar bekerja keras dalam membantu usaha murni kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin," jelasnya lagi.

Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF)

 

GWGF adalah persatuan hasil gabungan 14 persatuan badan bukan kerajaan (NGO) yang diwakili Generasi Baru FELDA.

Hingga kini, keanggotaan badan tersebut berjumlah hampir 200,000 orang ahli dan sebahagian besarnya adalah peneroka FELDA.

Antara persatuan hasil gabungan di bawah GWGF adalah Persatuan Peneroka FELDA Malaysia, Persatuan Penerokawati FELDA Malaysia, Kelab Golf Generasi FELDA, Dewan Perniagaan Generasi Baru FELDA Malaysia dan pelbagai persatuan FELDA lain. - DagangNews.com