Had hutang kerajaan dinaikkan kepada 60% | DagangNews Skip to main content

Had hutang kerajaan dinaikkan kepada 60%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Parlimen semalam telah meluluskan rancangan kerajaan untuk menaikkan had atau siling hutangnya kepada 60% daripada keluaran kasar dalam negara (KDNK) selepas terjejas akibat pandemik COVID-19.

Kenaikan had hutang tersebut merupakan kali pertama sejak 10 dekad lalu, sebagai langkah untuk mengurangkan kesan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat dan perniagaan tempatan. 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika penggulungan perbahasan berkata, kenaikan had hutang itu merupakan sebahagian daripada Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (COVID-19) 2020.

 

zafrul
Zafrul Abdul Aziz

 

Rang undang-undang tersebut bakal berakhir pada tahun 2022. 

Kali terakhir Malaysia menaikkan kadar siling hutang adalah pada Julai 2009 ketika krisis kewangan global.

Ketika itu, had hutang kerajaan dinaikkan sebanyak 10% kepada 55% daripada KDNK. 

Sebelum ini, sebagai langkah merangsang pemulihan ekonomi negara, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM295 bilion bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas.

Ini termasuklah suntikan fiskal sebanyak RM45 bilion yang menaikkan kadar siling hutang negara kepada 56%.

Pada suku kedua 2020, Malaysia menyaksikan penguncupan KDNK kepada 17.1% sejak 2009. 

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan ekonomi akan menguncup antara 3.5% hingga 5.5% pada tahun ini. - DagangNews.com