Hanya 20% bajet boleh dibelanjakan jika tidak lulus | DagangNews Skip to main content

Hanya 20% bajet boleh dibelanjakan jika tidak lulus

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjangkakan hanya 20% daripada keseluruhan Belanjawan 2021 dapat dibelanjakan sekiranya bajet tidak diluluskan. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, ia melibatkan 'perbelanjaan dikenakan' iaitu meliputi bayaran pencen dan hutang. 

 

"Berdasarkan dialog dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz Jumaat lalu, baki 80% lagi termasuk operasi perkhidmatan awam seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, undang-undang dan ketenteraman, perlu diluluskan oleh Parlimen," katanya dalam nota kajian seperti dilaporkan Bernama hari ini. 

 

Malah, Zafrul berkata, sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan, semakan atau bajet baharu perlu dibentangkan dan diluluskan sebelum hujung tahun ini bagi mengelakkan ia tertangguh sehingga ke tahun hadapan. 

 

Jelas firma itu lagi, menurut Menteri Kewangan, penggunaan Perkara 102(a) Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan anggaran sebahagian bajet dibenarkan apabila masa tidak mencukupi bagi meluluskan Belanjawan 2021 sebelum bermulanya tahun kewangan baru.

 

"Keadaan ini pernah berlaku pada 1999 apabila Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum dilaksanakan selepas pembentangan Belanjawan 2000. 

 

"Ketika itu juga terdapat sesi Parlimen khas sebelum akhir 1999 selepas pilihan raya umum bagi meluluskan sebahagian bajet bagi tahun 2000," kata firma itu.  

 

Bagaimanapun, menurut Maybank IB, tidak ada kebiasaan untuk meluluskan sebahagian bajet selepas ia ditolak.

 

Parlimen akan membuat undian untuk Belanjawan 2021 pada Khamis ini. 

 

Dalam satu laporan media kelmarin, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr. Shamrahayu Abd Aziz berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengambil perhatian dan mengakui keadaan bahawa beliau telah kehilangan majoriti jika Rang Undang-undang (RUU) Pembekalan 2021 tidak mendapat cukup undi untuk diluluskan.

 

Bagaimanapun katanya, situasi itu akan menjadi lebih rumit dan merugikan jika dibuat pelantikan perdana menteri baharu yang perlu membuat semula RUU Perbekalan untuk 2021.

 

Shamrahayu juga berkata, tindakan meluluskan RUU itu secara interim akan menyukarkan negara selain tidak begitu demokratik serta menjadi persoalan berpanjangan.

 

Jelasnya, ia juga akan menyukarkan untuk diadakan pilihan raya umum (PRU), mendapatkan mandat rakyat serta sukar memilih perdana menteri jika kehilangan kepercayaan majoriti. - DagangNews.com