KUALA LUMPUR 22 Julai - Kadar harga bagi bawang merah, putih dan bawang besar meningkat lebih daripada 30% pada Jun 2020 berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Indeks Harga Pengguna yang disiarkan di media sosialnya menunjukkan, harga bagi bawang besar meningkat daripada RM3.31 pada Jun 2019 kepada RM4.58 pada Jun 2020 bagi setiap kilogram (kg).
"Manakala bagi bawang kecil merah pula naik daripada RM5.58 pada tahun lalu kepada RM8.32 pada Jun 2020 bagi setiap kg.
"Harga setiap kg bagi bawang putih pula meningkat daripada RM7.49 pada 2019 kepada RM10.27 pada Jun 2020," jelas statistik itu.
Sementara itu, DOSM turut melampirkan di laman webnya senarai harga purata Malaysia bagi barangan terpilih pada Jun 2020 termasuk harga bawang pada purata RM4.58 setiap kg.
Graf peningkatan harga mengikut negeri pula menyaksikan Sabah dengan harga bawang termahal iaitu RM7.17 setiap kg melebihi harga purata RM4.58.
Kedudukan itu diikuti dengan Labuan, Sawarak dan Terengganu apabila masing-masing mencatatkan harga RM5.50, RM5.42 dan RM4.98 disamping Johor dan Pahang pada harga RM4.69.
Manakala 10 negeri atau wilayah lain masih berada di bawah purata harga negara seperti Negeri Sembilan (RM4.49), Perak (RM4.22), Kuala Lumpur (RM4.19), Kelantan (RM4.08), Perlis (RM3.96), Selangor (RM3.76) dan Kedah (RM3.60).
Sementara itu, tiga wilayah lagi merekodkan kadar harga terendah iaitu Melaka (RM3.23), Putrajaya (RM3.08) dan Pulau Pinang (RM3.07).
Dalam pada itu, senarai 100 barangan dan makanan yang dikeluarkan pada Jun 2020 adalah tidak termasuk senarai harga bawang merah dan bawang putih mengikut negeri di Malaysia. - DagangNews.com