Harga minyak mentah global diunjur meningkat kepada AS$92 setong pada suku keempat 2023, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Harga minyak mentah global diunjur meningkat kepada AS$92 setong pada suku keempat 2023, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - RHB Investment menjangkakan harga minyak mentah global meningkat kepada AS$92 setong pada suku keempat tahun ini dengan pasaran minyak kekal dalam defisit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kebanyakan agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) dan OPEC mengunjurkan pertumbuhan permintaan minyak global dari suku tahun ke suku tahun yang positif pada purata 1 juta tong sehari (mbpd) suku keempat 2023.

 

Katanya, pihaknya menaikkan unjuran 2024 sebanyak AS$5 setong untuk kerana bekalan yang lebih ketat daripada OPEC, berdasarkan pemotongan sukarela berterusan sehingga Mac 2024 dan pertumbuhan permintaan minyak yang sihat (+1.9mbpd dari tahun ke tahun).

 

"Defisit dianggarkan pada 3.1mbpd pada suku keempat 2023 dan sepatutnya purata pada 1.4mbpd pada 2024.

 

"Di sebalik kekurangan bekalan, kami sedar bahawa pengeluaran minyak Amerika Ssyarikat (AS) meningkat kepada paras hampir rekod pada 12.9mbpd, dan EIA menjangkakan pengeluaran minyak mentah AS kekal pada paras ini sebelum berpurata pada 13.2mbpd pada 2024.

 

"Kami mengunjurkan harga minyak mentah global meningkat kepada AS$84 setong dan AS$85 setong bagi 2023 dan 2024 dan mengekalkan unjuran AS$85 setong bagi 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, memandangkan harga minyak diunjurkan kepada purata melebihi AS$80 setong dalam tempoh tiga tahun akan datang, mereka percaya ia akan terus menggalakkan syarikat minyak mengekalkan rancangan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi (opex) mereka.

 

"Kami masih positif terhadap pemain perkhidmatan huluan, memandangkan tahap aktiviti yang tinggi.

 

"Kami juga yakin dengan pemain industri FPSO kerana permintaan yang teguh dan pendapatan yang berdaya tahan," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com