Harga saham CCM naik 6.09% selepas PNB umum lupus ekuiti  | DagangNews Skip to main content

Harga saham CCM naik 6.09% selepas PNB umum lupus ekuiti 

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Harga saham syarikat pengeluar produk polimer dan klor-alkali, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) melonjak sehingga 6.09% selepas Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencapai persetujuan untuk melupuskan ekuiti dalam syarikat itu kepada Batu Kawan Berhad (BKB). 

 

Setakat 12.01 tengah hari, saham CCM mencecah RM2.96, meningkat 0.17 sen daripada paras ditutup semalam iaitu RM2.79.

 

Menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia, CCM menjelaskan pihaknya telah menerima pemberitahuan daripada PNB mengenai pelulusan ekuiti majoriti sebanyak 56.3% kepada BKB yang kini menembusi industri pembuatan bahan kimia. 

 

“PNB dan Amanah Raya Trustees Berhad telah mencapai perjanjian jualan saham bersyarat dengan BKB untuk pelupusan saham biasa sebanyak 94,449,487 dalam CCM, mewakili 56.32% terbitan modal saham yang dipegang oleh penjual dengan nilai tunai RM 292,793,409.70, bersamaan RM3.10 sesaham,” kata CCM, semalam. 

 

Apabila pelupusan itu selesai, PNB tidak akan lagi menjadi pemegang kepentingan dalam CCM. 

 

Semalam, DagangNews.com melaporkan nilai pelupusan ekuiti itu mewakili premium sebanyak 69% daripada harga purata saham berwajaran tiga bulan. 

 

Baca: PNB lupus 56.3% pegangan dalam Chemical Company of Malaysia

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pelupusan ekuiti itu adalah sebahagian daripada strategi kepelbagaian aset PNB untuk mengimbang portfolio. 

 

Di samping itu, langkah berkenaan dikatakan sejajar dengan usaha meningkatkan nilai kumpulan PNB supaya dapat memberi pulangan mampan kepada pemegang unit, ujar Ahmad Zulqarnain. 

 

"Proses penjualan dan penentuan harga yang tepat telah dilakukan secara menyeluruh oleh penasihat kami, Maybank Investment Bank Berhad dan kami berpuas hati dengan harga jualan akhir yang memberikan premium yang tinggi berbanding harga pasaran,” kata beliau. 

 

Dalam pada itu, penganalisis melontarkan pendapat bahawa BKB ‘bermurah hati’ untuk menawarkan pembelian saham pada harga RM3.10 sesaham. 

 

Jelas Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB), harga itu jauh lebih tinggi daripada sasaran harga CCM yang dibuat pihaknya, iaitu RM1.47. 

 

“Kami menasihatkan para pelabur untuk menerimanya,” kata HLIB dalam nota kajiannya hari ini. - DagangNews.com