Hasil bagi sektor pelancongan kesihatan diunjur meningkat pada FY23, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Hasil bagi sektor pelancongan kesihatan diunjur meningkat pada FY23, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Dis - CGS-CIMB Research menjangkakan hasil untuk FY23 bagi sektor pelancongan kesihatan terus meningkat didorong peningkatan pengunjung di hospital Malaysia selepas pembukaan sempadan antarabangsa pada April 2022.

 

CGS-CIMB Research berkata, unjuran itu dibuat kerana pesakit asing akan dikenakan bayaran premium berbanding pesakit tempatan.

 

Firma itu berkata, sektor itu menyumbang 6% kepada hasil Malaysia kepada KPJ Healthcare Berhad dan IHH Healthcare Berhad pada 2019 (pra pandemik).

 

"Pesakit pelancongan kesihatan bagi KPJ meningkat 22% dari suku ke suku pada 3QFY22 manakala IHH dan Ramsay Sime Darby Health Care juga mencatatkan pemulihan positif melepasi tahap pra pandemik.

 

"Pusat Perubatan Sunway juga menyaksikan pertumbuhan positif pada Ogos 2022 berbanding April 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan pendapatan sesaham IHH dan KPJ meningkat masing-masing sebanyak 19% dan 13% pada FY23 didorong pemulihan jumlah pesakit serta intensiti hasil selepas COVID-19.

 

Katanya, pendapatan KPJ dibantu oleh pemulihan dalam pendapatan bersekutu dan normalisasi kadar cukai berkesan. 

 

"Kami percaya lawatan pesakit akan bertambah baik secara progresif dalam FY23-24 merentasi operasi kedua-dua kumpulan (daripada pesakit domestik dan asing), yang membawa kepada kadar penghunian katil campuran kembali kepada tahap optimum sebanyak 65-75% untuk IHH dan KPJ pada suku akan datang.

 

"Pertambahan itu mungkin didorong oleh permintaan struktur untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di peringkat tempatan/global.

 

"IHH merancang untuk menambah lebih 2,000 katil dalam tempoh beberapa tahun akan datang manakala, KPJ akan meningkatkan jumlahnya sebanyak 1,300 katil menjelang 2026 termasuk Hospital Pakar Damansara 2 yang baharu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu berdasarkan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan hospital swasta di peringkat tempatan dan global. - DagangNews.com