Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Sekatan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Jun lalu, telah menjejaskan prestasi kewangan Pecca Group Bhd. bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2021.
Pada suku berkenaan, kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras sebanyak RM400,000 (susut 93.7% suku ke suku, 77.1% tahun ke tahun) manakala RM18.1 juta bagi tahun kewangan 2021 (meningkat 69.9% tahun ke tahun).
Dengan prestasi kewangan itu, ia berada dalam julat jangkaan Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research tetapi tersasar daripada daripada unjuran konsensus.
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Pecca mengakhiri tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 dengan untung bersihnya meningkat lebih 2 kali ganda kepada RM19.23 juta meskipun pendapatan suku keempat merosot kepada hanya RM26,000 berbanding RM8.05 juta pada suku ketiga.
Bagaimanapun, HLIB Research menjangkakan perolehan Pecca akan kembali pulih pada separuh pertama tahun kewangan 2022
Katanya, ia akan dipacu oleh pengeluaran kenderaan pemasangan tempatan (CKD) untuk memenuhi tempahan yang tertangguh dan baharu sebelum pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berakhir 31 Disember ini.
"Dalam pada itu, pengurusan kumpulan juga yakin terhadap permintaan kukuh bagi segmen baharunya menerusi peralatan perlindungan diri (PPE)," katanya.
Firma itu bagaimanapun, mengekalkan saranan 'jual' ke atas saham Pecca dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.
"Kami percaya harga saham semasa Pecca telah melebihi asas pertumbuhan pendapatan kumpulan.
"Walaupun, menyaksikan kedudukan aliran tunai Pecca yang kukuh pada RM78.1 juta, tetapi hasil dividennya menjadi kurang menarik berdasarkan kepada harga saham semasa," jelasnya.
Setakat 11.14 pagi ini, saham Pecca menokok 2 sen kepada RM2.99 dengan 281,100 saham diniagakan. - DagangNews.com