HE Group raih kontrak RM31 juta bangunkan stesen janakuasa kilang pembuatan semikonduktor di Ulu Klang | DagangNews Skip to main content

HE Group raih kontrak RM31 juta bangunkan stesen janakuasa kilang pembuatan semikonduktor di Ulu Klang

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - HE Group Bhd memperoleh kontrak RM30.6 juta bagi membangunkan stesen janakuasa 132kV bagi kilang pembuatan semikonduktor yang dicadang untuk dibangunkan di Zon Perdagangan Bebas di Ulu Klang.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu diberikan kepada Hexatech Engineering Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh HE Group.

 

HE Group tidak menjelaskan pelanggannya, hanya mencatatkan kontrak itu diberikan oleh "kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan".

 

Kumpulan yang baru sahaja membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Januari 2024 melaporkan pendapatan RM48.9 dan keuntungan bersih RM4.21 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (2QFY2024). 

 

Keuntungannya didorong sebahagian besarnya oleh Hexatech Engineering di mana sistem pengagihan kuasa menjanakan RM31.87 juta atau 65.17% daripada jumlah hasil.

 

Tiada angka perbandingan bagi tempoh semasa, kerana ini adalah laporan kewangan interim pertama sejak penyenaraian HE Group.- DagangNews.com